Operasi SAR memasuki hari kedua hari ini masih gagal menemui mangsa. - Gambar JBPM
MUKAH: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas kejadian dua perahu panjang berlanggar di Batang Oya, Dalat semalam masih belum membuahkan hasil selepas operasi memasuki hari kedua hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pasukan khas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah diketuai PBK II Bonnie Sera bersama dua anggota bergerak ke lokasi seawal jam 8 pagi.
Katanya, mereka tiba di jeti Waterfront Dalat jam 8.40 pagi sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bot penyelamat ke lokasi di mana mangsa dilaporkan hilang.
Penduduk kampung turut berganding bahu dalam usaha pencarian mangsa. - Gambar JBPM
"Setibanya di lokasi jam 10.03 pagi, operasi SAR dimulakan dengan menggunakan kaedah 'Surface Water Searching' serta kaedah tradisional menggunakan rotan berduri.
"Bagaimanapun, sehingga operasi dihentikan sementara jam 4.30 petang tadi, mangsa yang dikenali sebagai Dos Katek, 81, masih belum ditemui," kata kenyataan itu.
Operasi SAR ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dalat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dalat.
Kaedah pencarian tradisional menggunakan rotan berduri turut digunakan dalam operasi tersebut. - Gambar JBPM
Selain itu, penduduk kampung turut berganding bahu dalam usaha pencarian dengan kekuatan 150 orang dan 60 bot persendirian.
Peralatan logistik digunakan dalam operasi ini termasuk sebuah bot aluminium milik PDRM, dua bot milik APM serta beberapa bot dan perahu persendirian. Operasi SAR akan disambung semula esok.
|