PERSAHABATAN: Nizam menyampaikan hadiah kemenangan kepada ketua pasukan Mak Jemah FC, Johan Raja Lawak.
TAWAU: Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan padu bagi sebarang penganjuran yang diadakan di Sabah selagi ia membawa manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan setiap penganjuran program selagi ia sesuai dengan adat dan budaya di Sabah.
Katanya, Sabah adalah negeri yang semakin popular dalam kalangan penganjur program sama ada daripada luar mahupun dalam negara.
“Kita mahu Sabah menjadi lokasi pilihan utama bagi setiap penganjuran terutamanya yang membabitkan program berimpak besar dan melibatkan masyarakat di negeri ini.
“Melalui penganjuran program juga dapat memberikan ruang dan peluang kepada peniaga kecil untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pelanggan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui media dalam Karnival Stylofest Merdeka 2024, di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri juga mahukan setiap penganjur turut memberikan keutamaan terhadap program-program yang boleh meningkatkan kesedaran terhadap perpaduan kaum di Sabah.
“Kita mahu setiap penganjur sentiasa menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat serta melibatkan semua kaum dan agama di negeri ini.
“Sekiranya ia dilaksanakan mengikut acuan perpaduan, sudah pasti negara kita sentiasa aman dan makmur serta sukar dipengaruhi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata, penganjuran Karnival Stylofest Merdeka 2024 adalah satu sejarah bagi daerah Tawau kerana menerima kunjungan ramai dalam kalangan artis popular di negara ini.
“Saya melihat karnival ini dibuat secara besar-besaran dan mendapat sambutan dalam kalangan peniaga di daerah Tawau dan sekitarnya.
“Kehadiran artis-artis tempatan menghangatkan lagi suasana karnival yang dianjurkan ini dan saya berharap banyak lagi program-program sebegini dianjurkan di daerah Tawau,” katanya.
Terdahulu, turut diadakan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Jawatankuasa Tawau FA yang diketuai Nizam dengan pasukan Mak Jemah FC daripada kalangan artis-artis popular di Malaysia.
|