Edited by Vellfire at 11-9-2024 08:46 AM
CENDERAHATI: Yusof (tengah) menerima cenderahati daripada Rosli (kiri) pada majlis itu.
LABUAN: Semua ahli parti khususnya peringkat kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) disaran pandai membuat analisa dalam memastikan parti itu relevan dengan keadaan dan keperluan semasa.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, politik sifatnya berubah-ubah mengikut masa dan sekarang ini suatu keadaan boleh dikatakan sukar yang memerlukan pemikiran baharu.
Katanya, sebagai contoh, di Sabah ada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan gabungan lapan parti, Pakatan Harapan (PH) Plus dan UMNO, manakala di peringkat Persekutuan ada Kerajaan Perpaduan yang membabitkan gabungan beberapa parti.
"Jadi ahli parti mesti pandai menganalisa dan keadaan ini suatu yang sangat kompleks yang perlu ditangani dengan bijak.
“Saya tekankan soal sokongan kepada rakan komponen, kefahaman, hubungan baik sangat penting dalam keadaan kita sekarang ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Labuan di sini.
Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, senario politik kerajaan campuran ini juga berlaku di negara lain seperti di United Kingdom dan Australia.
Justeru katanya, kerjasama dan persefahaman baik antara parti komponen dalam kerajaan campuran itu sangat penting.
“Maknanya walaupun dari parti lain menerajui kerajaan, tetapi mesti juga rakan-rakan komponen jangan diketepikan..kerana jika diketepikan soal perpaduan, kerjasama itu nanti tidak wujud,” katanya.
Beliau turut menekankan penting faktor 4R dalam memilih calon pada pilihan raya bagi memastikan kemenangan parti.
Katanya, 4R itu adalah orang yang betul (Right Person), tempat yang betul (Right Place), parti yang betul (Right Party) dan masa yang betul (Right Timing).
Menurutnya, calon yang dipilih adalah layak dan boleh menang, lokaliti asal calon juga perlu diambil kira serta parti yang diwakili dan masa itu mesti sesuai dengan keadaan.
Hadir sama, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Labuan Rosli Awang Damit; timbalannya Prof Dr Harun Pudin; Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Labuan Abu Mahmood; Ketua Wanita Jurai Tuah, Ketua Pemuda Muhamad Faizal Abdullah dan Ketua Beliawanis Zuraidah Sahari.
|