Beberapa barang bukti kes antaranya senjata api buatan sendiri dirampas hasil daripada tangkapan suspek lelaki warga tempatan terbabit.
MIRI: Seorang lelaki warga tempatan diberkas polis pada Selasa bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah ladang sawit di Sebubok, Niah pada penghujung Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.
“Polis juga telah berjaya membuat rampasan senjata api buatan sendiri (bakakuk) yang disyaki digunakan dalam kejadian ini.
“Sehubungan itu, suspek telah direman di Mahkamah Miri selama tujuh hari sehingga 18 September 2024 untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Alexson menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial kerana boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini, silalah tampil ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
“Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri,” ujarnya.
Dalam laporan media sebelum ini, mangsa dalam kes ini ialah seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun yang ditemui mati dengan kesan tembakan pada anggota badan di kawasan ladang sawit.
|