SERAH: George (tiga kanan) menyampaikan hadiah kemenangan kepada salah seorang pemenang pada program itu.
SANDAKAN: Sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting berlangsung meriah dengan kehadiran yang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew berkata, beliau telah hadir ke Malam Mesra Pemimpin Bersama Rakyat sempena ambang Hari Malaysia di Kampung Karamunting Baru.
Katanya, program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan.
"Sambutan memang meriah bukti perpaduan erat dalam kalangan penduduk, program ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Parlimen Batu Sapi dan Pejabat DUN Karamunting.
"Ia bertujuan bagi bersama-sama menyambut Hari Malaysia dan Maulidur Rasul dengan penduduk setempat," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, pada majlis itu pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan karaoke kilauan emas, kibar jalur gemilang, sukaneka dan masakan tradisional.
"Sebagai pemimpin di Karamunting, kami berharap dapat terus berkhidmat untuk semua. Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat," katanya.
|