Tangan kiri anggota polis yang cedera akibat diserang suspek dengan kerambit di jeti bot Sungai Kanowit pada petang Ahad lalu.
KANOWIT: Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera tangan kiri dan bahagian perut setelah diserang dengan kerambit oleh seorang lelaki disyaki penagih dadah dalam kejadian di sini pada petang Ahad lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang di jeti bot Sungai Kanowit ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Kanowit menjalankan operasi untuk menangkap suspek yang enggan memberi kerjasama ketika cuba ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes perbuatan khianat di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Dennis Bunyam memaklumkan bahawa ketika usaha penahanan dilakukan, suspek yang berusia 35 tahun itu tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang salah seorang anggotanya menggunakan kerambit.
"Keadaan itu menyebabkan anggota polis terlibat mengalami kecederaan serius akibat dilibas dengan senjata tajam itu.
"Anggota berkenaan dibawa ke Hospital Kanowit dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sibu untuk proses rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Dennis berkata, suspek kemudian berjaya dikesan setelah cuba melarikan diri dengan menaiki bot sewa ke tengah Batang Rajang.
"Polis memberikan amaran kepada suspek agar meletakkan senjata dan menyerah diri.
"Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan menyerang polis dengan cara melibas parang ke arah anggota
Kerambit yang digunakan suspek turut dirampas untuk dijadikan sebagai barang kes.
"Demi mempertahankan diri dan keselamatan awam, polis telah melepaskan tembakan satu das tembakan yang mengenai kaki kanan suspek," jelasnya.
Menurutnya lagi, suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Hospital Kanowit sebelum dirujuk ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
Katanya, polis turut merampas senjata tajam yang digunakan suspek semasa kejadian itu.
Ujarnya, pemeriksaan urin suspek didapati postiif dadah dan suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
"Suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 September untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," tambah beliau.
|