CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17905|Reply: 0

[Sarawak] Bahasa Melayu dalam Cerminan Sebuah Negara Merdeka

[Copy link]
Post time 20-9-2024 03:43 PM | Show all posts |Read mode


(Bahagian 1)
Oleh: Muhammad Qhidir Mat Isa
TAHUN ini, kali ke-67 kita merdeka.
     Sebenarnya, kesan catur congak dan manipulasi pecah perintah British masih membekas dalam sanubari masyarakat. Dalam banyak penulisan lampau tentang sosiologi dan kenegaraan, kita waspada terhadap kesan divide et impera yang membibitkan prasangka cauvinisme serta bibit-bibit ekstremisme. Ternyata tak hanya itu, kini muncul pula barah pemikiran baharu seperti Anglophile, mentaliti materialistik, superfisial. Kesemua itu, kini dan ke depannya, pasti kekal sebagai liku-liku cabaran dalam mengisi sebuah kemerdekaan tanah air tercinta ini.
     Tak lengkap rasanya berbicara perihal kemerdekaan tanpa menyentuh tentang bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan (PP) Malaysia. Pastinya setelah 67 tahun, pelbagai usaha telah, sedang dan akan terus digembleng kerajaan untuk menyatukan kita dengan bahasa kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan, beberapa akta bahasa, penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, pemerkasaan bahasa dalam sistem pendidikan, Sekolah Wawasan, DLP dan MBMMBI merupakan antara ikhtiar kita mengisi kemerdekaan. Namun, amat dikesali, walaupun sekalian banyak ikhtiar kita, masih ada masyarakat yang tidak tahu, tidak fasih dan tidak mahu berbahasa kebangsaan.

Sejarah “Negara” dan “Negara Bangsa”
Tatkala Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 dan enam tahun kemudiannya bergabung dengan Sabah dan Sarawak menjadi Malaysia, cita-cita “negara bangsa” menjadi suatu kewajipan, bukan pilihan (Abdul Rahman, 2015). Negara memerlukan masyarakat yang berpegang kepada konsep sebangsa dan seidentiti. Mustahil kita dapat hidup dalam dunia masing-masing. Pegangan itulah yang diperlukan, mengikat kuat rasa, fikir dan tindak semua rakyat pelbagai kaum, agama dan cara hidup dalam kesefahaman nan harmoni (Samsudin, 2021).
     Ya, tentu cita-cita ini bukanlah semudah yang dikatakan, tetapi juga tidak mustahil. Yang pasti, cita-cita ini menuntut kita mengorbankan ego, meruntuhkan prasangka dan terutamanya keangkuhan rasa superioriti kaum, bahasa dan agama yang menjadi hambatan terbesar.
     Sebelum melanjutkan perbahasan, pemahaman tentang definisi penting negara dan kenegaraan perlu digarap terlebih dahulu. Ternyata, sebarat-barat tamadun Rom-Greek, merentasi benua Timur Tengah tamadun Islam, hinggalah menjangkau tamadun Ming dan Qing di Tanah Besar China, telah ramai tokoh filsuf berbicara tentang negara dan kenegaraan. Perbahasan terbaik antaranya daripada tokoh filsuf, sejarawan dan sosiologis, Abu Zayd Abd ar-Rahman ibnu Muḥammad ibnu Khaldun al-Hadrami atau kita sebut sebagai Ibn Khaldun. Beliau mengimaginasikan “negara” sebagai suatu tubuh yang keadaannya sama seperti tubuh manusia, ada sifat, ada tabiat sendiri, ada tubuh badan serta perasaan, termasuklah batas umur (Rolis dan Harnadi, 2021).
     Tokoh filsuf Era Kebangkitan Barat Jean-Jacques Rousseau pula memahami “negara” sebagai cita-cita, yang memerlukan kerjasama rakyat untuk melindungi dan mempertahankan harta benda anggota mereka agar bebas dan merdeka (Jean-Jacques Rousseau, 2016).
     Manakala, dalam bahasa Melayu moden, istilah “negara” merujuk kepada “kawasan yang didiami oleh penduduk yang diperintah di bawah satu sistem politik yang sama” (Kamus Dewan Perdana, 2021).
     Menurut Smith (2010), istilah nationalisme dijejak paling awal daripada bahasa Latin Tua gnaci yang bermaksud “melahirkan”, “menjadi bapa”. Ia diperturunkan ke bahasa Latin sebagai nationem yang bermaksud ”lahir, asal, baka, spesies, kaum sebangsa atau puak” dan kemudiannya ke bahasa Perancis Tua sebagai nacion, iaitu “lahir, kedudukan, keturunan, kekerabatan, negara dan tanah air”. Akhirnya ia digunakan juga dalam bahasa Inggeris abad pertengahan sebagai nacioun yang membawa pengertian hampir serupa, iaitu “kaum sebangsa, kumpulan besar manusia dengan nenek moyang dan bahasa sama”.
     Baik sebagai tubuh badan, cita-cita, atau persamaan sistem, fenomena globalisasi meleraikan ikatan istilah lampau yang membatasi persamaan bahasa ibunda dan keturunan. Ketidakterikatan ini diakui oleh ramai ahli sejarawan tempatan, antaranya Samsudin (2021), Abdul Rahman (2015) dan Rashid (1993) yang memahami “sebangsa”, iaitu nasion dalam konteks Malaysia moden sebagai kelompok masyarakat yang terbentuk oleh perjalanan sejarah yang sama, berkongsi wilayah yang sama, berekonomi bersama, ada bahasa bersama dan bersentimen dan berkongsi sensitiviti bersama.
     Kebersamaan inilah yang menjadi ciri “negara bangsa” Malaysia terutama sifatnya berasaskan “acuan sendiri” (Samsudin, 2021; Abdul Rahman, 2015). Cita-cita ini secara rasminya dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1991 dalam Majlis Perniagaan Malaysia dalam kertas kerja beliau yang bertajuk “Laluan ke Depan” semasa melancarkan Wawasan 2020. Tegas Tun, cita-cita negara bangsa merupakan wadah mencapai negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu tanpa dipisahkan oleh sentimen perkauman, agama atau bangsa dengan dua penekanan penting, iaitu kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara (Abdul Rahman, 2015).
     Dasar ini dilancarkan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan tatkala negara kita telah beralih kepada ideologi moden seperti demokrasi berparlimen selain faktor kepesatan logistik, literasi, komunikasi, migrasi termasuklah kepesatan ekonomi (Samsudin, 2021). Ringkasnya, pemahaman kita tentang “sebangsa” yang lama, iaitu berdasarkan bahasa ibunda dan kaum telah digantikan dengan makna “sebangsa” yang baharu. Makna yang baharu ini mengikat kita pada ketaatan, kesetiaan, mahu bersatu dengan kelompok lain dalam usaha mencapai cita-cita bersama, diiktiraf rakyat bagi negara yang kita cintai ini (Ismail et al., 2021).

Negara Bangsa Acuan Malaysia
Doktrin negara bangsa di Malaysia sebenarnya melalui perjalanan sejarah yang panjang. Ibrahim dan Maliati (2020) dan Samsudin (2021) meletakkan titik awal konsep negara bangsa Malaysia bermula pada era kolonial. Gerakan pertama daripada Kesatuan Melayu Muda dengan sosok penting seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Profesor Mohammad Yamin dan Sukarno yang bercita-cita menyatukan Malaya-Indonesia-Brunei menjadi Kesatuan Melayu Raya. Kesatuan ini mengingatkan kembali kita kepada cita-cita Patih Gajah Mada dengan Sumpah Palapa. Usaha ini gagal dek kerana hanya benar-benar digerakkan tatkala Jepun hampir kalah.
     Gelombang kedua kemudiannya muncul semasa gerakan kemerdekaan, diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, yang akhirnya berjaya memerdekakan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Meskipun gelombang kedua ini lebih berskala kecil, namun cabarannya tidaklah enteng kerana perlu menyatukan tiga kaum yang sangat berbeza bahasa, budaya dan agama. Namun ramai tidak menyedari lalu sikap enteng itulah menghukum kita dengan tragedi menyayat hati pada 13 Mei 1969.
     Tatkala itu, seluruh negara terpana sejenak memandang lumuran darah berhamburan dan mengalir di jalan-jalan Kuala Lumpur. Yang jelas, tragedi ini adalah pengajaran nyata dan terbesar buat kita agar menghapuskan sentimen cauvinisme dan segera memeluk erat semangat kebersamaan dalam negara bangsa. Atas kesedaran yang sama jualah tertubuhnya Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang menjadi agensi utama gerak kerja memupuk semangat negara bangsa dalam kalangan rakyat jelata.
     Selain MAGERAN, Dasar Ekonomi Baru juga antara contoh tindakan pragmatik memupuk doktrin negara bangsa (Esa et al., 2022). Selanjutnya, pada tahun 1991 dalam Majlis Perniagaan Malaysia, barulah konsep “negara bangsa” diperkenalkan secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir dalam kertas kerjanya “Laluan ke Depan”. Pengenalan secara rasminya ini mendefinitifkan ciri-ciri negara maju acuan Malaysia, iaitu tidak hanya menguasai ekonomi, sains dan teknologi, tetapi juga berhasil membina masyarakat bersatu padu, taat dan cinta akan negara.
     Pengenalan konsep negara bangsa dalam Wawasan 2020 merupakan satu bukti keseriusan kerajaan (Ibrahim dan Maliati, 2020). Atas sasaran tersebut jugalah pelbagai ikhtiar dilakukan untuk merealisasikan ciri-ciri negara maju yang diidamkan, antaranya melalui bahasa kebangsaan. Jelas sekali, bahasa dalam mana-mana masyarakat sekalipun merupakan lambang identiti sesebuah negara yang mampu menyuburkan semangat kekitaan, kebangsaan dan seterusnya perpaduan masyarakat Malaysia.

Sejarah Ikhtiar Bahasa Membina Negara Bangsa
Umum mengetahui, rekod tulisan bahasa Melayu dikesan seawal abad ke-7 Masihi dengan inskripsi Kadukan Bukit (682M), Sumatera Selatan dan inskripsi Sojomerto (800M), Jawa Tengah.
     Inskripsi Kadukan Bukit menceritakan tentang asal-muasal kedatuan Melayu-Hindu Sriwijaya oleh pengasasnya, Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Beliau dalam siddhayatra (perjalanan suci) bersama ribuan askar berjaya menawan daerah Palembang, Bengkulu dan Jambi lalu marwuwat manua. Kedua-dua istilah ini mendatangkan polemik dalam kalangan sejarawan Melayu. Ada yang menyatakan marwuwat manua bererti Dapunta Hyang membuka negeri (Boechari, 1993; Geria, 2017; Sholihat, 1983), ada pula yang menyatakannya ertinya sebagai membuat tempat peribadatan wihara Buddha (Muljana, 1981, 2011; Santun, 2013).
     Daripada fasa bahasa Melayu Purba, kedatangan Islam melalui para pedagang khusus abad ke-15 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Muzaffar Shah memasuki era kegemilangan bahasa Melayu. Bahasa ini berkembang pesat lantaran Melaka menjadi pelabuhan dunia bagi pedagang Ming, Ryukyu, Persia, Gujerat dan Arab. Melaka merupakan kuasa politik terkuat serantau mengalahkan Raja Ligor dan  mengambil alih jajahan Majapahit, Indragiri, Jambi, Tungkal dan Siantan secara diplomasi.
     Ramai pengkaji bersetuju bahawa zaman keemasan bahasa Melayu ditandakan pada fasa bahasa Melayu klasik, meliputi abad dari ke-14 hingga ke-19. Susunan karya-karya agung Melayu mengikut abad adalah seperti berikut: abad ke-14, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Raja Pasai; abad ke-15, Undang-Undang Melaka; abad ke-16, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Seri Rama, Hikayat Inderaputera, Qasidah al-Burdah, Hikayat Iskandar Zulkarnain, Asrar al-Arifin, Muntahi, Sharab al-Ashikin, Aqaid al-Nasafi dan Syair Hamzah Fansuri.
     Pengajaran yang boleh kita ambil ialah kekuatan dalaman seperti ekonomi, politik dan keilmuan dahululah yang membuka jalan agar bahasa Melayu berkembang pesat kemudiannya. Perlu ditekankan di sini, dominasi, globalisasi mahupun pengaruh luar ketika itu seperti Hindu, Arab dan Cina, sama sekali tidak melemahkan bahasa Melayu. Bahkan bahasa ini berasimilasi dengan begitu baik. Dibuktikan juga abad ke-17 dan ke-18, bahasa Melayu cemerlang sebagai bahasa kenegaraan dan keilmuan. Kedua-dua abad ini menyaksikan ratusan manuskrip-manuskrip berbahasa Melayu dikarang sebagai catatan sejarah penting tentang bangun jatuhnya kerajaan-kerajaan terdahulu.
     Pun begitu, ahli bahasa Hashim et al. (2014) menyatakan, sekitar abad ke-20, bahasa Melayu malangnya mengalami masa-masa kemerosotannya sebagai lingua franca, terutama dalam soal pendidikan. Ketika ini, segregasi dan diskriminasi sistematik dilakukan dengan kewujudan sekolah berasaskan kaum seperti Sekolah Menengah (SM) St. Xavier, Pulau Pinang, SM St. John, Kuala Lumpur dan SM Victoria, Kuala Lumpur, sekolah Cina seperti Penang Chinese Girls’ High School, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa dan SMJK Chung Cheng, dan sekolah Tamil seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Sambanthan, Perak dan SJKT Simpang Lima, Perak.
     Menurut Ramlah Adam dan Mohd Kasturi (2014), bahasa Melayu hanya diajarkan bagi sekolah Melayu seperti Maahad Al-Ehya Asshariff, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Al-Mashoor, Pulau Pinang untuk latihan asas tahu membaca, menulis dan mengira selain kemahiran bercucuk tanam, menganyam bakul atau guru agama, sesuai dengan ekonomi perkampungan. Tujuannya untuk menyekat lepasan sekolah vernakular Melayu dan hanya menjadi kuli peon di pejabat dan tukang pandu. Jika adapun Melayu yang mendapat pendidikan terbaik di sekolah terbaik, hanyalah golongan bangsawan.
     Penjajah British di Tanah Melayu sekitar abad yang ke-17 mulai menghakis penggunaan bahasa Melayu (Ibrahim dan Maliati, 2020; Kamil dan Mohamad, 2020). Tidak keterlaluan dikatakan, selama 131 tahun British menjajah, polarisasi bahasa Melayu-bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa kampungan, bahasa golongan bawahan, manakala di sudut bertentangan bahasa Inggeris adalah bahasa pegawai-pegawai atasan, golongan aristokrat, bahasa sekolah-sekolah sekular besar-besar di bandar-bandar utama (Ibrahim dan Maliati, 2020).
Catatan: Bahagian 2 esei ini akan disiarkan pada 23 September 2024.




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 11:30 PM GMT+8 , Processed in 0.073014 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list