Armizan bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Jelajah Karnival KPDN Peringkat Negeri Sarawak di Metrocity, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Tujuh stesen minyak di Sarawak antara 38 stesen minyak di seluruh negara yang dikenal pasti berlaku ketirisan dalam penjualan bahan api bersubsidi diesel dan RON95 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hasil pemantauan dijalankan kesemua stesen minyak tersebut didapati mencatat rekod jualan yang tinggi dan luar biasa daripada yang sepatutnya.
"Tujuh daripada stesen tersebut adalah di Sarawak dan begitu juga Sabah ada tujuh, dan kita akan teliti serta pantau rekod penjualan mereka sekiranya terdapat unsur penyelewengan kerana rata-rata lokasi stesen minyak ini berdekatan dengan sempadan negara jiran.
"Jadi, kita berharap dengan pendekatan baharu di mana kita akan membuat naziran ke atas stesen-stesen minyak bermula Oktober ini, kita dapat menangani isu ketirisan bahan api bersubsidi ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jelajah Karnival KPDN Peringkat Negeri Sarawak di Metrocity di sini, hari ini.
Armizan berkata, siasatan berhubung ketirisan bahan api bersubsidi itu akan dijalankan di bawah dua akta iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama pihak pengusaha stesen minyak dan syarikat minyak untuk bersedia dengan rekod masing-masing apabila naziran dibuat oleh KPDN nanti.
Mengenai saman pemula yang diterima daripada seorang individu berhubung subsidi diesel, Armizan berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan.
Saman pemula itu katanya, adalah perkara yang tidak dijangkakan kerana pemberian subsidi adalah polisi kerajaan.
"Individu tersebut menyaman Kementerian Kewangan dan KPDN kerana menganggap polisi kerajaan untuk subsidi diesel bersasar merugikan rakyat Semenanjung Malaysia dan bersifat 'double standard' (tidak adil).
"Namun sepertu yang saya sebut, subsidi ini adalah polisi kerajaan dan kenapa belum dilaksanakan di Sabah dan Sarawak kerana pertama, penggunaan bahan api diesel di Sabah dan Sarawak adalah atas faktor keperluan dan bukan kehendak.
"Keduanya, sejak sekian lama wujud jurang besar harga barangan dan perkhidmatan di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.
"Jadi, kita berharap mereka di Semenanjung Malaysia akan memahami penjelasan kerajaan ini," katanya.
|