Richard (tengah) meraikan kemenangan bersama Techman (kiri), Abdullah Syawal (kanan) hari ini. Turut kelihatan Billy (belakang). - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Atlet para lempar cakera Sarawak, Richard Bada menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Sarawak dalam sukan Para SUKMA Ke-21 (SUKMA XXI) 2024, hari ini.
Lebih membanggakan Richard,31, turut berjaya mencatatkan rekod baharu dengan jarak lemparan 25.53 meter mengatasi rekod lamanya 22.00 meter dalam kategori F41.
Manakala dua lagi rakan sepasukan, Techman Mary dan Abdullah Syawal Majarol masing-masing menghadiahkan pingat perak dan gangsa untuk Sarawak dalam kategori tersebut.
Richard ketika ditemui selesai acara di Stadium Sarawak hari ini, melahirkan rasa bangga atas kejayaan memenangi emas pertamanya dalam Para SUKMA.
“Semestinya saya rasa gembira kerana menang emas pertama dan dapat mengharumkan nama Sarawak dan keluarga.
“Pingat emas saya dedikasikan kepada keluarga saya dan juga negeri Sarawak tercinta,” katanya.
Selain acara lempar cakera, atlet kelahiran Serian ini juga akan bertanding dalam acara lenjam lembing pada hari ketiga kejohanan dan acara lontar peluru pada hari keempat.
Beliau turut menyasarkan untuk menang pingat emas dalam kedua-dua acara itu nanti bagi menambah koleksi emasnya.
Richard juga berkata beliau akan berlatih dengan lebih gigih lagi selepas ini untuk terus membawa kejayaan kepada Sarawak.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah hadir menyampaikan pingat kepada pemenang di Stadium Sarawak.
Hadir sama, timbalannya Datuk Mohammad Razi Sitam yang juga Chef de Mission (DCM) Kontinjen Para SUKMA Sarawak dan Timbalan CDM Billy Sujang.
|