Sahat menyampaikan cenderamata kepada Dr Abdul Rahman (empat kiri) pada majlis tersebut sambil disaksikan tetamu lain.
LIMBANG: Sebanyak RM25 juta diluluskan kerajaan Sarawak melalui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk pembinaan bangunan pejabat Persatuan Kedayan Limbang (PKL) yang dijangka dimulakan hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bangunan PKL itu akan dibina di kawasan berkeluasan lebih empat ekar dan dilengkapi kemudahan moden termasuk sebuah dewan yang memuatkan 500 orang.
Beliau menjelaskan, kerja pembinaan bangunan tersebut akan mengambil masa 18 bulan dan dijangka siap selewat-lewatnya penghujung 2026.
"Kita dalam perancangan untuk membangunkan keseluruhan kawasan tersebut dengan melakukan kerja penambakan tanah dan sebab itu kos meningkat daripada RM6 juta kepada RM25 juta.
"Kerja pembinaan akan dilakukan secepat mungkin, kemungkinan akan bermula pada penghujung tahun ini," katanya pada Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Pesta Makan Tahun Kedayan 2024 di Dewan Kampung Tegarai baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Pengerusi PKL Pemanca Sahat Bagol.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menambah, bangunan baharu itu yang amat dinantikan masyarakat Kedayan di utara negeri ini akan menjadi mercu tanda PKL selain memberi kemudahan bukan sahaja kepada masyarakat kedayan itu sendiri, malah masyarakat pelbagai kaum dan agensi kerajaan lain.
Beliau berkata, dewan serba guna tersebut juga akan menjadi tapak majlis perkahwinan selain premis perniagaan lain.
|