Lee (tengah) bersama Hamdan (dua kiri) merakam kenangan selepas pertemuan tersebut. Turut kelihatan, Firdaus (kiri), Jerip Susil (tiga kiri) serta (dari kanan) Zulkarnain, Sio dan Wong.
KUCHING: Sebagai reaksi kepada pengurangan rangkaian penerbangan oleh Malaysia Aviation Group (MAG) baru-baru ini, AirAsia bersetuju meningkatkan kekerapan penerbangannya membabitkan laluan Sarawak.
Menurut kenyataan hari ini, langkah tersebut dilaksanakan selepas Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menghubungi AirAsia untuk menangani situasi berkenaan dalam usaha memenuhi keperluan perjalanan rakyat Sarawak.
Lee menjelaskan berdasarkan surat daripada MAG, penerbangan Malaysia Airlines kumpulan itu dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu, serta Firefly dari Kota Kinabalu ke Kuching, Kuching ke Miri, dan Pulau Pinang ke Kuching akan dikurangkan dengan ketara.
Susulan itu, Lee mengadakan pertemuan dengan Pengarah Hal Ehwal Sarawak AirAsia Hamdan Mohamad pada Rabu untuk mencadangkan AirAsia menambah penerbangannya bagi mengimbangi pengurangan penerbangan MAG.
"Saya gembira tatkala mendengar AirAsia mengambil langkah positif untuk meningkatkan penerbangan bagi memenuhi keperluan pasaran Sarawak," ujarnya dalam kenyataan terbabit.
Lee menambah, menurut AirAsia, bagi laluan Sarawak terdapat 359 penerbangan mingguan pada bulan Ogos, yang telah dinaikkan kepada 364 penerbangan pada bulan September.
Bagaimanapun katanya, disebabkan luar musim pada bulan Oktober, ia berkurangan sedikit kepada 356 penerbangan, manakala pada November dan Disember, ia masing-masing akan meningkat kepada 384 dan 406 penerbangan.
"AirAsia juga akan menggunakan pesawat berbadan lebar Airbus A330 dengan 377 tempat duduk untuk penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching setiap hari dari 20 Disember hingga 6 Januari, dan dari 17 Januari hingga 10 Februari bagi menampung lonjakan permintaan penumpang semasa musim perayaan," katanya.
Difahamkan, Airbus A330 adalah pesawat badan lebar jarak sederhana dan jauh AirAsia yang boleh memuatkan 377 penumpang.
AirAsia menggunakannya untuk terbang ke laluan antarabangsa seperti Dubai, Sydney, China, Tokyo dan Seoul.
Dalam pada itu, Lee semasa pertemuan itu turut mengetengahkan beberapa masalah yang dihadapi oleh rakyat Sarawak terutamanya tambang penerbangan tinggi.
Justeru, beliau menggesa AirAsia mempertimbangkan pelaksanaan dasar harga siling bagi tambang penerbangan dalam Sarawak serta antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Selain AirAsia, Kementerian Pengangkutan Sarawak juga telah menghubungi Malaysia Airlines dan Batik Air untuk pertemuan dengan menteri bagi membincangkan perkara sama.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng, Penasihat Teknikal Penerbangan Sio Yew Hua, Ketua Bahagian Penerbangan Zulkarnain Rosli dan Pengurus Jualan AirAsia Firdaus.
|