Operasi membelah perut buaya pertama dalam usaha merungkai insiden kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai dibaham buaya di Kampung Seberang Pasar Lama, Tatau hari ini. - Gambar PDRM
BINTULU: Seekor buaya sepanjang 5.18 meter berjaya ditangkap Sarawak Forestry Corporation (SFC) di perairan Nanga Sap sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini berkata, penangkapan buaya berkenaan dilakukan berhubung insiden kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Tatau, minggu lalu.
"Usaha pemburuan hari ini yang turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan kedudukan reptilia ganas itu sebelum bertindak melepaskan tembakan dengan kebenaran SFC," ujarnya.
Sejurus berjaya didaratkan di jeti pos operasi, Jame berkata operasi membelah perut buaya itu dijalankan oleh anggota SFC dengan disaksikan oleh PDRM dan ahli keluarga mangsa.
Menurutnya, selepas kerja-kerja membelah perut reptilia terbabit dijalankan, empat hingga lima batang gigi ditemui, namun belum dapat dipastikan sama ada ia gigi manusia (mangsa) atau sebaliknya.
"Sampel gigi yang ditemui dalam perut buaya itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk tujuan pengesahan," jelasnya.
Jame berkata, buaya kedua turut berjaya ditangkap pada jam 1 petang tadi dan prosedur sama akan dijalankan untuk mencari bukti kes berkenaan.
Dalam insiden sekitar jam 6.30 petang Rabu minggu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Cicilia Julan Intik, 6, sedang mandi bersama keluarganya di Kampung Seberang Pasar Lama sebelum dibaham oleh seekor buaya.
Justeru, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dimulakan sebelum ditangguhkan pada Rabu lalu iaitu hari kelapan SAR kerana tidak menemui sebarang petunjuk baharu.
|