Sirajul (belakang lapan kanan) bersama pasukan para boling padang Perak.
KUCHING: Sarawak dipuji sebagai tuan rumah Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) terbaik dalam sejarah penganjurannya setakat ini.
Bermula dari ketibaan para atlet dan pegawai sehingga tamat perlawanan, semuanya diuruskan dengan rapi oleh Sarawak sebagai tuan rumah penganjur bagi edisi ke-21 tahun ini.
Jurulatih para boling padang Wilayah Persekutuan Labuan, Abdul Hajis Nikman berkata Para SUKMA tahun ini adalah yang terbaik dibandingkan dengan penganjuran edisi sebelumnya.
Abdul Hajis,Jurulatih Para Boling Padang Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya bermula dari segi penginapan,pengangkutan, venue acara, makanan, semuanya dijaga dengan rapi oleh tuan rumah Sarawak.
“Pegawai-pegawai pengiring yang ditugaskan menjaga setiap negeri juga terbaik dan kami Wilayah Persekutuan Labuan sangat berpuas hati dan dikira terbaik,” katanya ketika ditemui di Arena Boling Padang Sarawak hari ini.
Abdul Hajis turut mengucapkan tahniah kepada Sarawak sebagai juara keseluruhan Para SUKMA XXI dan berharap pada edisi seterusnya di Selangor 2026 nanti akan mencontohi model yang digunakan Sarawak.
Yusril Hafiz, atlet para boling padang Selangor.
Bagi atlet para boling padang Selangor, Mohamad Yusril Hafiz Mohd Shukri pula, sepanjang berkampung di Sarawak, tiada kekurangan atau cacat cela oleh tuan rumah penganjur Sarawak.
“Penginapan, makanan, perjalanan pergi dan balik semuanya dijaga dengan baik oleh tuan rumah penganjur.
“Ini kali kedua saya di Sarawak dan saya rasa seronok kerana tidak ada cacat cela. Venue bagi boling padang juga terbaik,” katanya.
Untuk Para SUKMA seterusnya di Selangor pada tahun 2026, Yusril Hafiz berharap tuan rumah yang juga negerinya sendiri juga akan melakukan yang terbaik dari segi penganjuran.
Sementara itu, juralatih para dari Perak, Sirajul Adli Mohd Yusoff berkata penganjuran Para SUKMA XXI di Sarawak boleh dikatakan yang terbaik.
Sirajul, jurulatih para Perak.
“Persiapan sangat rapi oleh tuan rumah, penginapan selesa, pengangkutan baik begitu juga dengan makanan.
“Kalau dibandingkan dengan penganjuran edisi sebelum ini, Sarawak boleh dikatakan yang terbaik,” katanya.
Sirajul dalam pada itu berharap tuan rumah penganjur Para SUKMA tahun 2026 di Selangor juga akan melakukan yang terbaik atau lebih baik dari Sarawak.
|