CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15106|Reply: 0

[Sabah] Projek baik pulih Bangunan USIA dilancar

[Copy link]
Post time 29-9-2024 08:35 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 29-9-2024 04:45 AM



LANCAR: Arifin menandatangani papan tanda sebagai simbolik pelancaran projek membaik pulih Bangunan USIA Sembulan semalam.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) melancarkan projek membaik pulih Bangunan USIA Sembulan, dekat sini, seiring Pelan Strategik Pembugaran USIA bagi tahun 2022 – 2024.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Hj Mohd Arifin Arif, di perkarangan bangunan berkenaan, pagi semalam.

Projek membaik pulih dibahagi kepada dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan kos RM3 juta dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.

Apabila siap sepenuhnya kelak, USIA bercadang untuk berpindah ke bangunan itu dari pejabatnya sekarang di Kompleks 1Borneo.


PROJEK BERMULA: Sapawi menyerahkan Surat Tawaran Kerja kepada wakil kontraktor yang melaksana projek baik pulih itu, sambil disaksikan Arifin
Dalam ucapannya, Arifin menghargai usaha dan komitmen kepemimpinan USIA membaik pulih bangunan bersejarah itu yang menjadi mercu tanda bermulanya kegiatan dakwah yang gilang-gemilang di Sabah.

Katanya, beliau amat bersetuju dengan  keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meluluskan peruntukan pembaikan dan pemuliharaan bangunan bersejarah berkenaan.

Beliau menyifatkannya sebagai tanda pengiktirafan dan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha yang dilaksanakan USIA, justeru perlu diteruskan agar kekal relevan dalam dunia digital tanpa sempadan kini.

Sehubungan itu, beliau berharap bangunan itu apabila siap dibaik pulih  kelak, kembali berfungsi sebagai Ibu Pejabat USIA seperti awal pembinaannya dahulu.


BAIK PULIH: Bangunan USIA yang akan dibaik pulih, letaknya di lokasi strategik berhadapan Bulatan Masjid Negeri.

"Mewakili kerajaan negeri, saya menyanjung tinggi peranan dan pendekatan yang dimainkan oleh USIA sejak penubuhannya pada 10 Oktober 1969 sehingga sekarang, dalam membantu kerajaan yang kini menerapkan konsep hidup madani.

"Ia sangat sinonim dengan masyarakat Sabah berbilang kaum dan agama yang menjadi ‘role model’ sehingga kita mengecapi norma kehidupan aman dan damai, sikap toleransi yang tinggi serta amalan keharmonian dalam kepelbagaian," katanya.

Mengenai kepemimpinan USIA, Arifin memuji usaha yang digerakkan oleh Yang Dipertua USIA sekarang, Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad, yang mencetuskan idea penggubalan Pelan Strategik Pembugaran USIA bagi tahun 2022–2024.

Beliau yakin USIA mampu membugar kembali peranan dan fungsi utamanya serta mengaktifkan kembali aktiviti menyantuni golongan asnaf dan saudara kita (muallaf) seperti ziarah dan sentuhan kasih.

Katanya, ia sejajar dengan konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mempunyai tiga teras berdasarkan slogan SMJ.

S merujuk kepada tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, manakala M merujuk modal insan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama, serta J adalah  jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Arifin berkata USIA juga telah berjaya menyiapkan Bangunan Pusat Latihan Dakwah (PLD) Al-Bukhary Kota Marudu yang telah sekian lama terbengkalai.

Katanya, usahasama dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) ini akan menjadi pusat tahfiz TVET untuk anak-anak Sabah.

Beliau berkata usaha itu sudah pasti akan menambah modal insan untuk sektor pekerjaan di negari Sabah.

Dalam perkembangan lain, Arifin juga menghargai usaha gigih Sapawi bersama rakan pimpinan USIA yang telah berjaya menyelamatkan tanah USIA di Semporna daripada dilelong pihak bank.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan atas usaha penuh hikmah YDP dalam menangani isu ini sehingga tapak tanah itu sekarang sedang giat dibangunkan untuk mewujudkan pusat perniagaan dan perumahan dinamakan `Sipadan Plaza'," katanya.


MAKLUMAT: Arifin dan Sapawi (kiri) menjawab soalan pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Sapawi ketika ditemui pemberita kemudian berkata projek baik pulih bangunan itu dimulakan sejurus majlis selesai dan konsepnya tetap mengekalkan ciri-ciri asalnya sebagai bangunan bersejarah di lokasi paling strategik.

Katanya, dari segi struktur, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan bahawa ia masih kukuh, manakala kerja pembaikan dikendalikan syarikat dan konsultan yang dilantik.

Beliau berkata bahagian tingkat satu dan dua masih utuh, manakala tingkat tiga dan empat perlu kerja pembaikan yang banyak selepas berlaku kebakaran pada tahun 2011.

"Ciri-ciri asal dan keunikan bangunan akan tetap dikekalkan," katanya, sambil menegaskan komitmen USIA untuk terus mengambil peranan secara proakfit dalam pembangunan dakwah, seiring hala tuju SMJ kerajaan negeri.


UNIK: Pandangan sisi Bangunan USIA yang mempunyai ciri-ciri keunikan tersendiri, akan dikekalkan dalam projek baik pulih ini.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 09:20 PM GMT+8 , Processed in 0.728303 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list