EKSESAIS: Aset TLDM dan Maritim Malaysia semasa mengadakan Eksesais Samudera Perkasa Timur 2/2024.
KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengadakan Eksesais Bersepadu kali kedua, Eksesais Samudera Perkasa Timur 2/2024 di sini.
Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin semasa merasmikan eksesais ini berkata tema eksesais bagi siri kali ini adalah Peperangan dan Search and Rescue (SAR) selaras dengan six years roadmap (2023 – 2028) yang dibangunkan.
“Rancangan aktiviti yang dilaksanakan meliputi Fasa Pelabuhan dan Fasa Laut yang terdiri daripada Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX).
“Pelaksanaan Eksesais Samudera Perkasa Timur 2/2024 ini dilihat menjadi platform terbaik untuk memperkasakan aspek kebolehoperasian dan persefahaman komuniti maritim secara bersama dalam menentukan kestabilan dan keamanan serantau khususnya di Laut China Selatan,” katanya.
Majlis Penutup eksesais disempurnakan Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
Eksesais ini dilaksanakan bermula 23 hingga 27 September melibatkan dua buah kapal TLDM iaitu KD Kelantan dan KD Rencong serta sebuah Pesawat Helikopter Maritim (HOM) manakala Maritim Malaysia melibatkan empat buah kapal iaitu KM Adil, KM Bistari, KM Stapa dan KM Renggis.
Selain itu, eksesais kali ini turut melibatkan elemen daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM dan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia dalam siri latihan High Risk Visit, Board, Search and Seizure (VBSS).
|