CEDERA: Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa menggunakan pengusung (stretcher).
RANAU: Seorang lelaki cedera selepas dihempap kereta buruk ketika melakukan kerja-kerja pemotongan untuk dilupuskan di sebuah bengkel di Kampung Kilimu, di sini pada Sabtu.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di dada selepas berjaya diselamatkan orang awam. Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.36 pagi.
“Sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi membantu mangsa. "Mengikut laporan, mangsa dihempap kereta jenis pacuan empat roda ketika menjalankan kerja-kerja pemotongan kereta buruk untuk tujuan pelupusan.
"Mangsa mengalami cedera ringan di dada dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
|