HANY SYUQRIEYAN
LAHAD DATU: Penambahan 20 unit Rumah Mesra SMJ yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor baru-baru ini disifatkan sebagai bukti keprihatinan dan kepedulian kerajaan negeri terhadap rakyat.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Silam, Hany Syuqrieyan berkata, inisiatif Rumah Mesra SMJ dengan kuota 40 unit pada tahun 2025 pasti memberi manfaat besar kepada bakal penerimanya.
Katanya, usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah satu kesinambungan dengan usaha membangun negeri dan mensejahterakan rakyat.
“Rakyat kini boleh lihat bahawa Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar slogan, tetapi satu matlamat yang menjadi panduan kerajaan negeri untuk pembangunan dan kesejahteraan negeri serta rakyat,” katanya.
“Inisiatif Rumah Mesra SMJ ini juga dilihat membolehkan lebih ramai golongan yang memerlukan menduduki rumah yang lebih selesa,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa cakna dengan keadaan rakyat dan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Rumah Mesra SMJ ini bagi membela nasib rakyat.
“Inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri meliputi hampir semua aspek seperti pembangunan negeri, modal insan, kesejahteraan rakyat, kestabilan ekonomi dan lain-lain.
“Semua usaha yang dilaksanakan ini menjadi bukti keprihatinan dan kepedulian kerajaan terhadap negeri dan rakyat,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar rakyat dapat menilai pencapaian kerajaan negeri dan terus memberi sokongan kepada pimpinan negeri.
“Sokongan padu daripada rakyat mampu menjadi pemangkin untuk kerajaan berusaha lebih gigih demi masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.
|