Abang Johari berucap pada majlis perasmian Program MADANI Rakyat Sarawakku Sayang di Miri, petang Sabtu. - Gambar Penerangan
MIRI: Kestabilan politik, agama dan kaum serta ekonomi di Sarawak membantu mengukuhkan kestabilan di seluruh negara, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Sebab itu apabila kita menghadapi banyak masalah dalam negara, masalah politik, kita dari Sarawak mencuba untuk menstabilkan negara Malaysia.
"Dalam keadaan yang aman makmur dan seterusnya dapat kita menumpukan kerja kita untuk membangunkan seluruh negara.
"Alhamdulillah kita sudah dapat menstabilkan seluruh negara Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program MADANI Rakyat Sarawakku Sayang yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan pusat beli-belah Boulevard pada petang Sabtu.
Abang Johari berkata, penduduk pelbagai kaum dan agama di Sarawak memiliki semangat perpaduan dan kerjasama harmoni yang kuat.
Beliau memberi contoh, di Lutong Miri, pihak gereja akan membuka kawasan untuk membenarkan jemaah solat Jumaat di masjid yang terletak bersebelahan meletakkan kenderaan, sementara pihak masjid akan membuka kawasan untuk membenarkan jemaah gereja meletakkan kenderaan pada hari Ahad.
"Inilah persefahaman yang ada dalam kalangan rakyat Sarawak tidak kira latar belakang agama. Mereka duduk di bawah satu bumbung demi untuk keharmonian yang berbilang kaum.
"Ini bukan sahaja budaya yang terdapat di bandar raya Miri tetapi terdapat di seluruh negeri Sarawak," jelasnya.
Oleh kerana faktor itu, Abang Johari berkata, kepimpinan Sarawak dapat menstabilkan negeri ini.
Beliau menambah, kerjasama juga ditunjukkan oleh para pemimpin negeri ini yang memfokus kepada usaha membangunkan rakyat, negeri dan negara.
"Sebab itu saya rasa sampai sekarang tidak ada masalah besar yang ada dihubungkan dengan masalah agama mahupun masalah budaya.
"Ini untuk kita membangunkan Sarawak dan menstabilkan Sarawak," jelasnya.
Beliau dalam ucapannya juga memberitahu, di bawah kepimpinan Anwar, nilai ringgit sekarang semakin baik yang melambangkan ekonomi negara semakin pulih tetapi perlu mengharungi perjalanan yang masih jauh.
Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak menyambut baik hasrat mengadakan Program Malaysia MADANI dan Sarawakku Sayang.
"Kita juga sayang kepada Malaysia. Sebab itu kita nampak masa depan kita cerah.
"Kalau politik kita stabil dan kita dapat menumpukan perhatian kita untuk membangunkan ekonomi kita "Kami di Sarawak cuba untuk membangunkan kekuatan yang ada," jelasnya.
Menurut Abang Johari, selain pembangunan tenaga mampan dan hijau, Sarawak turut menumpukan kepada pembangunan pertanian dan mahu menjadi pengeluar tanaman padi dan beras yang utama di negara ini.
Untuk itu, Sarawak merancang menjadikan kawasan utara termasuk Limbang, Lawas dan Miri sebagai satu kawasan penanaman padi yang menggunakan teknologi moden.
Menurutnya, dalam bajet baharu, Sarawak akan memberikan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk membangunkan parit dan tali air.
Selain kawasan utara, Sarawak juga akan membangunkan kawasan selatan yang termasuk Kuching dan Samarahan.
"Kalau ini dapat dijalankan, Insya-Allah, keterjaminan makanan dan padi kita keluarkan dari Sarawak.
"Kita sasar pada 2030, Sarawak hendak mengeluarkan 240,000 tan padi dan beras dari Sarawak," katanya.
Beliau menambah, pembangunan pertanian dan tenaga diperbaharui seperti hidro dan solar adalah agar kerajaan negeri menerima pelaburan berimpak besar untuk Malaysia dari Sarawak.
Untuk itu, kerajaan negeri akan terus menstabilkan keadaan politik yang ada di Sarawak dan akan memberi sumbangan untuk menstabilkan keadaan di seluruh negara.
Beliau yakin nilai mata wang negara dan ekonomi negara akan kukuh sehingga penghujung tahun ini.
Kekuatan ekonomi yang berpanjangan akan menambah keyakinan pelabur serta membantu Sarawak memperkuatkan pembangunan ekonomi mampannya.
|