TUARAN: Dua individu pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika melintas jalan berhampiran Simpang Kampung Rugading, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tuaran Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.50 pagi.
Menurutnya, kemalangan terbabit mengakibatkan kedua-dua mangsa pejalan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu yang terlibat telah tampil di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sejurus sahaja laporan polis diterima.
"Setakat ini beberapa individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit turut ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih serta menyeru supaya orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar memaklumkan kepada pihak polis.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi menyalurkan maklumat dan membantu siasatan.
Menurutnya, orang awam juga diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kes kemalangan itu supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu dan tidak benar serta tidak mengganggu siasatan yang dijalankan.
|