RENTUNG: Lima mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan rumah setinggan. Gambar ihsan PGO JBPM Sabah
KOTA KINABALU: Lima mangsa termasuk kanak-kanak ditemukan rentung akibat terperangkap dalam kebakaran melibatkan rumah setinggan di Jalan Lembaga Padi Lorong Burung Keleto Likas di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 3 hingga 14 tahun.
Menurutnya, kebakaran itu melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal yang terbakar keseluruhannya termasuk sebuah stor dan kedai runcit.
Selain itu katanya, dua kenderaan turut terbakar dalam kejadian itu.
"Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.47 tengah hari.
"Kebakaran melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 70 x 80 kaki yang terbakar 100 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan empat pancutan sumber air dari jentera dan pili bomba berhampiran.
Pihaknya berjaya mengawal operasi pada jam 1.29 petang dan setakat jam 4.30 petang semalam, pasukan bomba masih lagi memadam bara api.
|