OPERASI: Pasukan bomba ketika menjalankan operasi SAR di sungai bekenaan.
KUNAK: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di sungai dekat sebuah ladang, di sini pagi tadi.
Mangsa Ridwan Nawir, 50, dikatakan ke sungai untuk menjalankan aktiviti memukat di sungai berkenaan, sebelum dipercayai disambar buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohammad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.18 pagi.
Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan bot orang kampung.
“Sebaik tiba, pasukan bomba dimaklumkan mangsa telah disambar buaya ketika menjalankan aktiviti memukat ikan di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi SAR dengan kaedah pencarian dipermukaan air di sepanjang sungai berkenaan bersama dengan agensi lain dan orang awam.
“Setakat ini, pasukan operasi masih gagal menemukan mangsa dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Operasi berkenaan ditangguhkan pada jam 4.31 petang tadi dan akan disambung pada esok pagi,” katanya.
|