1,800 atlet sertai Ironman Langkawi 2024
Hamzah Osman - Oktober 10, 2024 @ 5:44pm [email protected]
Lebih 1,800 atlet dari 51 negara akan berentap di Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2024 pada Sabtu ini.
LANGKAWI: Lebih 1,800 atlet dari 51 negara akan berentap membuktikan kekuatan dan kecergasan masing-masing pada Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2024 pada Sabtu ini.
Daripada jumlah itu, seramai 1,044 atlet atau 58 peratus menyertai Ironman Malaysia 2024, manakala baki 756 atau 42 peratus bersaing dalam Ironman 70.3 Langkawi 2024.
Ahli Parlimen Muar yang juga Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 31, adalah antara nama yang turut tersenarai sebagai peserta Ironman 70.3 Langkawi kali ini.
Kedua-dua kejohanan berprestij itu dianjurkan World Endurance Malaysia Sdn Bhd (WEMSB).
WEMSB dalam kenyataan berkata, Ironman Malaysia membabitkan membabitkan tiga disiplin - berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km.
"Persaingan bagi Ironman 70.3 Langkawi juga membabitkan tiga disipilin tapi jaraknya lebih dekat - berenang sejauh 1.9km, berbasikal 90km dan berlari sejauh 21.1km.
"Josh Amberger, 35, dari Australia - juara bertahan kategori profesional lelaki akan kembali beraksi, manakala isterinya, Ashleigh Gentle, 33, juara bertahan kategori profesional wanita tidak turut serta kali ini," kata WEMSB.
Menurut kenyataan itu, peserta tertua bagi Ironman Malaysia adalah Masanori Mori, 72, dari Jepun, manakala Pamela Williams, 71, dari Australia bagi Ironman 70.3 Langkawi.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/10/1309167/1800-atlet-sertai-ironman-langkawi-2024
|