RUNTUH: Enam kereta rosak akibat dihempap siling stesen minyak yang runtuh.
KINABATANGAN: Enam buah kereta rosak selepas siling sebuah stesen minyak di Bukit Garam runtuh ketika hujan lebat dan angin kencang, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati berlaku runtuhan bumbung dan siling stesen minyak dan menghempap enam kenderaan.
“Bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan operasi mengalihkan runtuhan siling berkenaan ke tempat yang selamat.
"Pemeriksaan akhir dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 6.59 petang,” katanya.
|