TANGKAP: Antara warga asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan JIM Sabah di Lahad Datu dan Semporna.
LAHAD DATU: Seramai 160 warga asing termasuk warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah kerana bekerja tanpa permit sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Semua tangkapan berkenaan membabitkan daerah ini dan Semporna menerusi operasi penguatkuasaan yang bermula kira-kira 9 pagi semalam dan berakhir jam 4 pagi tadi.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dalam operasi di Lahad Datu, seramai 200 individu diperiksa dan 149 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Tahanan terdiri daripada 94 lelaki dan 53 wanita berusia antara satu tahun hingga 79 tahun dengan majoriti berasal dari Filipina dan Indonesia.
“Lokasi serbuan membabitkan dua kawasan penempatan haram dan satu penempatan pekerja sebuah syarikat kuari,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Katanya, tindakan penguatkuasaan ini dilakukan susulan serta maklumat risikan JIM Sabah dan dalam operasi ini juga dua warga tempatan ditahan kerana disyaki melindungi Pendatang Tanpa Izin (PTI).
Sementara itu di Semporna, Sitti Saleha katanya, seramai 11 warga asing ditahan iaitu tujuh warga China dan empat warga Filipina kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
“Operasi ini bertujuan untuk menangani isu penghijrahan tanpa izin dan penempatan haram di seluruh negeri Sabah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurutnya, semua warga China yang ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja di tapak pembinaan resort di Semporna Katanya, JIM Sabah juga sedang mengesan majikan dan pemilik premis yang terbabit untuk disiasat dibawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas, begitu juga dengan majikan serta individu yang melindungi PTI di negeri ini,” katanya.
|