Izrie merakamkan kenangan bersama ibunya Piah Ayub, bapanya Hashim Hipni dan adiknya selepas menerima AGT dan AGT Khas Yayasan Sarawak, hari ini. - Gambar UiTM Cawangan Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Generasi muda yang menyimpan hasrat dan keinginan menjadi personaliti media sosial seperti pencipta kandungan diingatkan agar menghabiskan pengajian terlebih dahulu.
Itu nasihat daripada penerima Anugerah Graduan Terbaik (AGT) dan Anugerah Graduan Terbaik (AGT) Khas Yayasan Sarawak Izrie Hasfiezul Hashim pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-99, UiTM Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Izrie, 24, merupakan graduan Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di UiTM Cawangan Sarawak.
"Kita semua tahu bahawa trend sekarang adalah untuk menjadi pencipta kandungan atau 'content creator' dan ia bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan pemuda pemudi di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini.
"Ramai yang beranggapan menjadi pencipta kandungan ini sebagai satu 'kerja mudah' yang boleh menjana pendapatan lumayan," katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili 303 graduan daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.
Izrie berkata, paling merisaukan dapatan daripada sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) pada 2021 mendapati seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Malah, Menteri Pendidikan pada waktu itu turut menyatakan pada 2020 pula, sejumlah 115,939 pelajar lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran, tambahnya.
"Perkara ini turut disokong oleh beberapa pempengaruh media sosial yang 'berkempen' mengatakan bahawa tidak perlu belajar tinggi untuk berjaya.
"Saya ingin memetik kata-kata salah seorang 'content creator' yang sangat popular iaitu saudara Khairul Aming selepas beliau dinobatkan sebagai 'Creator of The Year' dalam TikTok Awards Malaysia pada tahun lepas.
"'Teruskan pembelajaran walaupun awak nak jadi 'content creator' awak kena ingat, bukan sekadar untuk viral. Untuk relevan lama, awak perlukan banyak pengetahuan, 'critical thinking,' 'problem solving,' ada adab, ada 'common sense'," katanya.
Justeru, Izrie berkata untuk menjadi pencipta kandungan memang kelihatan sangat mudah, namun hakikatnya banyak perkara dan cabaran perlu dilakukan khususnya kerja-kerja di sebalik tadbir, selain banyak kemahiran harus dikuasai.
Ini penting untuk menjadi seorang pencipta kandungan yang berpengaruh dan berjaya, katanya.
Mengenai kejayaan itu, Izrie berkata ia adalah berkat doa, sokongan ibu bapanya, serta keluarga dan tenaga pensyarah yang tidak pernah jemu mendidik dan memberi tunjuk ajar.
"Saya percaya konsep keberkatan dan keredaan pensyarah merupakan kekuatan dalam menuntut ilmu. Setiap keberkatan ilmu yang mereka curahkan akan memberi kejayaan serta menjadikan kita seorang yang berguna kepada masyarakat dan negara.
"Bagi saya, pensyarah adalah pengganti ibu dan bapa, abang atau kakak semasa kita menuntut ilmu ketika berjauhan dari keluarga," katanya.
|