CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20929|Reply: 0

[Sarawak] Peningkatan bil: SESCO tawar pelan ansuran automatik enam bulan

[Copy link]
Post time 16-10-2024 03:29 PM | Show all posts |Read mode


Pelanggan yang sebelum ini dikenakan bil berdasarkan anggaran atas faktor seperti pintu pagar yang berkunci atau lokasi meter sukar diakses akan menerima bil tepat selepas bacaan sebenar diambil. - Gambar SEB

KUCHING: Syarikat SESCO Berhad (SESCO), anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), menawarkan pelan ansuran automatik selama enam bulan bagi meringankan beban pengguna susulan peningkatan luar jangkaan bil elektrik.

SEB menerusi kenyataan pada Sabtu, berkata peningkatan luar jangkaan ini berlaku kesan pelarasan bil yang berbentuk sekali sahaja.

Bagaimanapun katanya, pelan ansuran automatik ini akan dilaksanakan untuk pelanggan terjejas, dengan pilihan untuk mereka yang memerlukan fleksibiliti tambahan untuk menguruskan tempoh pembayaran lebih panjang dengan menghubungi SESCO.

Pilihan pembayaran fleksibel tersebut telah lama menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard SESCO bagi membantu pelanggan untuk menguruskan bil mereka.

Naib Presiden Peruncitan Sarawak Energy, Ng Shou Fui, menjelaskan pihaknya memahami sebahagian daripada pelanggan mungkin menghadapi cabaran dengan bil elektrik mereka, terutamanya bagi mereka yang telah menerima bacaan anggaran berpanjangan disebabkan meter tidak dapat diakses.

"Bil yang telah diselaraskan dan dikeluarkan selepas kami mendapat bacaan meter yang sebenar, menunjukkan penggunaan sebenar bagi sepanjang tempoh tersebut.

"Walaupun ini mungkin menyebabkan pelarasan bil sekali sahaja, kami komited untuk membantu pelanggan untuk menguruskan pelarasan ini.

"Pelanggan yang sebelum ini dikenakan bil berdasarkan anggaran atas faktor seperti pintu pagar yang berkunci atau lokasi meter yang sukar diakses akan menerima bil yang tepat selepas bacaan yang sebenar diambil," katanya.

Tambah Ng, SESCO telah melaksanakan beberapa langkah untuk memaklumkan pelanggan mengenai meter yang tidak dapat diakses, termasuk menunjukkan bil anggaran dengan jelas dan mengeluarkan notis pintu pagar berkunci melalui pembaca meter.

SESCO katanya juga komited untuk memastikan pelarasan ini tidak memberikan beban kewangan berlebihan kepada pelanggan walaupun akses ke premis mereka telah terhad dalam tempoh yang lama.

"Kami ingin meyakinkan para pelanggan bahawa kami di sini untuk membantu mereka.

"Pelan ansuran automatik selama enam bulan ini diberikan untuk mengurangkan tekanan kewangan, dan jika memerlukan fleksibiliti tambahan, pelanggan boleh terus menghubungi kami," katanya.

SESCO menurut Ng, menguruskan 780,000 meter, dan kira-kira 3 peratus hingga 4 peratus akaun menerima bil anggaran.

Daripada jumlah tersebut katanya, sekitar 1 peratus pelanggan telah dikenakan bayaran kurang dari yang sepatutnya.

Justeru SESCO katanya, akan terus berhubung dengan pelanggan ini untuk memastikan bacaan sebenar dapat diperolehi.

Untuk membantu mengurangkan perbezaan antara bil anggaran dengan bacaan meter sebenar, pelanggan disarankan untuk kerap mengesahkan bacaan yang dicaj adalah konsisten dengan bacaan meter fizikal.

Mereka juga boleh memohon pembaca meter untuk mengesahkan bacaan di premis mereka dengan menghantar gambar bacaan meter terkini bersama nombor siri meter atau membuat laporan melalui aplikasi mudah alih SEB cares atau portal web.

Untuk mendapatkan bantuan atau menguruskan tempoh ansuran lebih panjang, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-3111, e-mel [email protected], atau melawat kaunter perkhidmatan pelanggan yang terdekat.

Bagi pelanggan di Kuching, mereka boleh mengunjungi kaunter yang sedia ada di Saradise, Wisma SESCO atau UTC Kuching.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 03:32 AM GMT+8 , Processed in 0.050422 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list