Jawatankuasa penganjur dan peserta bergambar selepas sidang media Buskerfest baru-baru ini.
MIRI: Atas bumbung MYY Mall Lutong akan menjadi lokasi untuk penganjuran festival Buskerfest Miri selama dua hari bermula 30 November ini.
Ia dianjurkan Naja Enterprise dengan kerjasama Lepak Miri dan Miri Anime Shumi Fans Club.
Lokasi ditaja MYY Mall dengan sokongan dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Festival ini menghimpunkan pelbagai penghibur persembahan jalanan tempatan dan antarabangsa yang mempamerkan gabungan muzik, komedi, tarian dan sarkas yang rancak.
Ia turut menggabungkan persembahan seni jalanan moden dengan persembahan kebudayaan tradisional, antaranya, pemain solo bass funk Jepun Gurasanpark bersama dengan badut sarkas Jepun G-Nyo dan artis belon komedi Zarky Orka.
Turut dijemput ialah Roger Wang Duo (Sanod Sundatang) dari Sabah yang menampilkan gabungan muzik etnik dengan pengaruh moden untuk pengalaman muzik yang menyegarkan dan unik.
Selain itu, pelajar dari Knewton Global Schools Miri dan kumpulan tarian kanak-kanak dijemput untuk membuat persembahan tradisional kepada pengunjung.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai produk termasuk makanan dan minuman serta barangan kraf tangan dari gerai-gerai usahawan tempatan.
Penganjur untuk menyediakan aktiviti untuk kanak-kanak iaitu gerai permainan, lukisan muka, taman tema air mini, menaiki belon udara dan sesi bertemu sapa dengan maskot.
Untuk maklumat lanjut sila kunjungi laman Buskerfest Miri 2024 di Facebook dan menghubungi Robin di talian 0138484984.
|