Ting menyalakan pelita sambil disaksikan Karambir (lima kiri), Yii (tujuh kiri) dan tetamu kehormat lain sebagai tanda simbolik perasmian sambutan Hari Deepavali Persatuan India Miri malam tadi.
MIRI: Persatuan India Miri meraikan ulang tahun ke-85 penubuhannya di Miri dan perayaan Hari Deepavali pada majlis makan malam di sebuah hotel di sini malam tadi.
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.
"Saya percaya majlis ini menawarkan peluang yang baik untuk kita mengukuhkan ikatan silaturahim, memupuk semangat kekitaan dan bekerja secara kolaboratif ke arah masa depan lebih cerah untuk semua," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu membeirtahu, majlis tersebut juga peluang untuk meraikan perbezaan sambil membina persekitaran yang harmoni dan inklusif untuk semua penduduk Miri.
Terdahulu, Presiden Persatuan India Miri Kaunselor Karambir Singh berterima kasih atas sokongan Ting kepada persatuan yang antaranya sumbangan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk pelaksanaan dua projek pemasangan pagar.
Projek tersebut ialah pemasangan pasar untuk bangunan persatuan di Jalan Kubu dan kawasan perkuburan India di Morsjaya di sini bernilai RM240,000 yang telah siap pada tahun lalu.
Karambir berkata, kehadiran rakan-rakan menjadikan majlis lebih meriah dengan perhimpunan keluarga berbilang kaum di sini.
Sokongan mereka turut menjadi penggerak di sebalik kejayaan persatuan selama ini dan bersama memainkan peranan membina warisan yang akan terus memberi inspirasi dan mengangkat generasi masa depan.
"Daripada sokongan pendidikan kepada perayaan kebudayaan, daripada aktiviti kebajikan sosial kepada projek khidmat masyarakat, Persatuan India Miri dapat menjadi sebahagian daripada fabrik sosial di Miri," jelasnya.
Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang juga ADUN Pujut Adam Yii dan wakil Ahli Parlimen Miri Chaw Zhe Jian.
|