|
Buat kali kedua, penyanyi terkenal, Ernie Zakri telah dipilih untuk menghiasa papan iklan digital gergasi di New York Times Square di Amerika Syarikat.
"Saya duta Equal untuk bulan ini. Alhamdulillah untuk kedua kalinya. Masih lagi bermimpi."
Menurut Berita Harian, Ernie turut berkata ini merupakan satu perkara yang sangat besar dalam kerjayanya. Padanya, ini merupakan tanda arah baru untuk dia bekerja lebih kuat dan ia dilakukan khas untuk para peminatnya.
Penyanyi lagu Masing-Masing itu merupakan artis wanita tempatan yang berjaya meraih ‘Spotify Monthly Listeners’ seramai 3.1 juta pendengar.
Selain itu, lagu Masing-Masing itu turut berada di kedudukan tangga kelapan dalam senarai Spotify Top 50 Indonesia. Malah Ernie juga merupakan artis wanita yang berada di kedudukan nombor satu paling lama di Carta RIM selama 23 minggu.
"Alhamdulillah, lagu ini mendapat tempat di hati semua orang, itu yang paling penting dan terima kasih kepada semua yang suka dengar dan menjadikan Masing Masing dalam ‘playlist’ atau lagu tema dalam ‘live’."
Penyanyi itu juga berkata dia tidak pernah terfikir untuk menembusi pasaran Indonesia dan duduk di carta radio di sana.
"Saya ada sasaran. Jadi, kerja-kerja saya menuju ke arah impian dan gol. Untuk mencapai semua ini dalam tahun ini, ia sangat mengejutkan juga. Apa pun, saya bersyukur sebab ada pendengar dan peminat yang sentiasa menyokong karya saya."
Menurut Ernie, lagu Masing Masing versi itu adalah hadiah istimewa buat peminat yang selalu menghargai keindahan lirik dan melodi dalam kesederhanaan.
Versi piano Masing-Masing ini menampilkan kerjasama Ade Govinda dan Nabila V selaku penulis, komposer Ade Govinda sendiri dan diterbitkan oleh William Chow.
SUMBER : Berita Harian, Beautifulnara
|
|