'Cukup-cukuplah buat, minta maaf' - Pemuda Umno
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ta-maaf-pemuda-umno
Amir Mamat
[email protected]
Disiarkan pada: Oktober 25, 2024 @ 4:36pm
Dr Muhamad Akmal Saleh
Melaka: Pemuda Umno mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, di sini, malam semalam.
Ketuanya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana insiden berkenaan jelas mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menurutnya, pihaknya sudah mengarahkan Pemuda Umno di Perak membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan segera diambil kepada penganjur perhimpunan berkenaan.
"Buat perarakan di tempat awam, sudahlah tiada permit (berhimpun), kibar pula bendera China. Tiada satu pun bendera Malaysia.
"Sebelum ini sudah berlaku dalam sekolah (kehadiran tentera laut China), hari ini bawa bendera China berarak di luar pula (sehingga) Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong selaku penganjur perarakan itu meminta maaf.
"Cukup-cukuplah minta maaf dan hari ini, saya mengarahkan seluruh Pemuda Umno di Perak untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan serta mengenakan hukum keras kepada mereka," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya, hari ini.
Katanya, pihaknya turut meminta kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan mengambil tindakan tegas sebagai peringatan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
"Tolonglah, jangan sudah buat kemudian minta maaf, orang dah muak dan bosan. Cukup-cukuplah asyik kita saja yang bersabar," katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa pihak termasuk parti politik menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.
Perkara itu didakwa menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Susulan itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua yang juga penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China itu. |