KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera ke atas insiden tanah jerlus di tepi Jalan Tun Jugah, berhampiran Cityone Megamall.
Gambar fail
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata, beliau menjangkakan akan menerima laporan mengenai insiden berkenaan dalam masa dua hari.
“Kita sedang mencuba sedaya upaya untuk mengetahui perkara yang berlaku dan kita sudah menutup tanah jerlus itu.
"Bagaimanapun, sekadar menyelesaikan masalah tidak mencukupi, kita mahu tahu puncanya, kita mahu tahu apakah isu asas di sini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika disoal mengenai insiden tanah jerlus berkenaan selepas penyerahan Permit Menduduki (OP) bagi Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNFOR) kepada Sarawak UNIFOR Charitable Trust (SUCT) di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.
Tambah Uggah, pihaknya akan terus mencari cara untuk memperbaiki keadaan dan memantau sebarang kawasan yang mungkin menghadapi masalah tanah jerlus.
Baru-baru ini, sebuah akaun Facebook menyiarkan gambar tanah jerlus di tepi jalan berhampiran CityOne Megamall dan dalam siaran itu, akaun itu telah meminta pihak berkuasa berkaitan meneliti perkara terbabit.
|