Uggah berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama kerajaan Sarawak di sini hari ini.-Gambar BERNAMA
KUCHING: Sarawak memerlukan sejumlah RM7.89 bilion bagi pembinaan fasiliti kesihatan baharu selain menaik taraf, membaik pulih serta menyelenggara fasiliti kesihatan di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak masih menghadapi kekurangan fasiliti kesihatan dan pakar perubatan.
“Pada masa sekarang terdapat enam buah hospital, 208 buah klinik kesihatan serta 67 buah kuarters di klinik yang perlu dibaiki.
“Selain itu terdapat dua buah Pejabat Farmasi Bahagian yang perlu diganti semula dan 206 buah klinik usang yang memerlukan perhatian segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) anjuran Kementerian Ekonomi yang dihadiri Menterinya Rafizi Ramli di sini, hari ini.
Selain itu kata Abang Johari, dari segi prasarana pendidikan ia juga memerlukan perhatian segera di mana sebanyak 460 sekolah masih mempunyai bangunan usang skala 6 dan 7 yang belum dibaik pulih dan 24 buah sekolah menengah dan 585 sekolah rendah masih belum mempunyai bilik makmal sains mereka sendiri.
“Secara keseluruhan Kerajaan Sarawak memerlukan sejumlah RM5.2 bilion untuk mengatasi masalah sekolah usang dan RM54 juta untuk mengatasi masalah kekurangan fasiliti makmal sains,” tegasnya.
Dalam pada itu mengenai inisiatif pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara perimeter dan bagi lot individu perlu terus dilaksanakan, kata Abang Johari.
Katanya Dalam RMK13, sejumlah RM140 juta diperlukan untuk pengukuran perimeter sebanyak 190,000 hektar dan pengukuran lot individu sebanyak 154,000 hektar.
“Program ini penting untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan dalam daftar tanah dan memastikan hak pemilikan tanah Adat Bumiputera terpelihara,” katanya.
Abang Johari berkata untuk infrastruktur asas, lebih daripada 1,300 penempatan di pedalam Sarawak masih belum menikmati akses jalan ke kampung halaman.
Maka itu katanya, dianggarkan 1,292km (kilometer) jalan baharu perlu dibina dan 4,782km jalan sedia ada perlu dinaik taraf dengan kos berjumlah RM38.4 bilion.
“Sementara itu, terdapat lebih 86,000 isi rumah belum mendapat bekalan air bersih.
“Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM20 bilion untuk mencapai liputan air bersih 100 peratus.
“Dianggarkan lebih 5,500 isi rumah masih belum mendapat bekalan elektrik.
“Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM1.3 bilion untuk mencapai 100 peratus bekalan elektrik 24 jam di luar bandar,” katanya.
|