Christina (dua kanan) menunjukkan surat daripada BSM Miri yang mengesahkan pemeriksaan dan rawatan awal, menjelang pemindahan buah pinggang yang akan diadakan di HKL. Turut kelihatan (dari kiri) Dennis, Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram Boyce Ngau dan bekas Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo.
MIRI: Seorang wanita Kayan dari Ulu Baram yang sudah menunggu selama 14 tahun untuk pemindahan buah pinggang bagi menyelamatkan nyawanya, kini merayu belas ihsan orang ramai bagi menghulurkan dana untuk menampung kos perjalanannya.
Christina Asong Ajang, 43, yang disahkan menghidap kegagalan buah pinggang kronik, menunggu pemindahan itu sejak 2010, namun hanya kini beliau berjaya mendapatkan buah pinggang yang didermakan dan dijadual menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bulan depan.
“Saya telah menjalani dialisis tiga kali seminggu di (pusat dialisis buah pinggang) Bulan Sabit Merah (BSM) Cabang Miri sejak 2010.
"Selepas (menjalani) banyak ujian, doktor akhirnya mengesahkan bahawa saya sihat untuk pemindahan buah pinggang yang dijadualkan pada 21 November depan," katanya kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.
Namun beliau melahirkan kebimbangan mengenai kos perjalanannya ke HKL yang turut membabitkan penginapan dan perbelanjaan lain.
Menurut Christina, dia telahpun menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia untuk mendapatkan bantuan penginapan.
"Saya sudah menghubungi Pakcik Kentang, tetapi mereka masih belum dapat menjamin tempat untuk saya.
"Saya masih berharap satu unit akan disediakan untuk saya sementara saya menunggu proses pemindahan," katanya.
Christina mengakui tidak mempunyai pendapatan tetap kerana dia tidak dapat bekerja secara tetap disebabkan keadaan kesihatannya.
"Saya membuat dan menjual kraf manik di rumah dengan pendapatan antara RM300 hingga RM600 bergantung kepada tempahan," katanya.
Dia turut menerima bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya tidak tahu berapa lama saya akan berada di KL atau jika saya perlu kembali ke Miri selepas menjalani rawatan awal sebelum pemindahan, sebab itu saya juga bimbang tentang kos penerbangan," tambahnya.
Selepas pemeriksaan atau rawatan awal, Christina akan menjalani ujian untuk menentukan sama ada padanan buah pinggang yang tersedia sesuai untuknya atau sebaliknya.
Menurut Christina, selepas menjalani pemindahan itu kelak, dia masih perlu tinggal di KL untuk pemantauan.
"Apabila saya sihat dan pulih, barulah saya dibenarkan pulang ke Miri," katanya.
Sementara itu, aktivis Dennis Along yang hadir pada pertemuan itu juga mendakwa terdapat bilangan yang agak tinggi di kalangan Orang Ulu yang disahkan menghidap kegagalan buah pinggang.
"Christina bertuah kerana menjadi orang pertama yang dipilih untuk pemindahan.
"Kami berharap orang ramai dapat membantunya," ujar beliau.
Dennis yang juga mengalami kegagalan buah pinggang kronik, telah menunggu lebih 20 tahun untuk pemindahan.
Bagi mereka yang ingin membantu Christina, sila hubungi talian 011-25019763 untuk maklumat lanjut.
|