(Dari dua kiri) Rusli, Hasbi dan tetamu lain pada perasmian Hari Kokurikulum dan Jualan Amal PIBG SMK Agama Limbang baru-baru ini.
LIMBANG: Anak-anak Sarawak khususnya di Limbang perlu menguasai modul pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) agar tidak ketinggalan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, penguasaaan STEM sehingga ke peringkat kemahiran tertinggi dapat memenuhi keperluan industri dan pasaran terkini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan, Sarawak mahu lebih ramai anak-anak tempatan menguasai kemahiran STEM bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan.
"Di Sarawak kita sedang memperkasakan bidang STEM untuk memenuhi pasaran kerja dan saya berharap anak-anak tempatan untuk menguasai kemahiran itu, selain mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama,” katanya pada Hari Kokurikulum dan Jualan Amal Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Agama Limbang Rusli Che Mood.
Hasbi berkata lagi, anak-anak tempatan perlu menguasai segala kemahiran yang diperlukan untuk mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan di Sarawak dari aspek kemahiran dan teknologi terkini.
Pada masa sama katanya, ibu bapa wajar memainkan peranan dalam mendidik anak-anak mereka berjaya dalam pelbagai bidang selain bidang keagamaan.
|