CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 27634|Reply: 2

[Sarawak] Dr Sim bidas kenyataan Dr Mahathir Sarawak harus bantu negeri mundur untuk membangun

[Copy link]
Post time 30-10-2024 10:42 PM | Show all posts |Read mode


KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (gambar) membidas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Sarawak yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri mundur untuk membangun.

Beliau mempersoalkan bahawa kerajaan persekutuan dilaporkan mengutip lebih banyak cukai dari Sarawak berbanding jumlah yang dikembalikan kepada negeri ini.

Sarawak juga katanya, telah membantu Malaysia sekian lama sehingga 70 peratus daripada klinik dan hospital di negeri ini dikategorikan sebagai usang, berbeza dengan keadaan di Semenanjung Malaysia yang dilaporkan lebih baik.

Bahkan pada tahun 1970-an iaitu ketika Malaysia miskin katanya, begitu banyak klinik dan hospital telah dibina di Sarawak.

“Tetapi ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-an, Malaysia lebih kaya namun ‘tiada wang’ untuk membina klinik dan hospital di Sarawak.

Bukan sahaja Sarawak ketinggalan tetapi selepas 50 tahun, mereka (Sarawak) daif!

“Terima kasih kepada Dr Mahathir kerana tidak menyalurkan wang kepada Sarawak dan Lim Guan Eng yang mengisytiharkan Sarawak bankrap pada 2018.

“Tanpa mereka, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan seluruh Kabinet Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan terus berusaha meningkatkan pendapatan Sarawak,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

Tegas Dr Sim, akibat dibuli sedemikian, Sarawak berupaya meningkatkan pendapatan daripada RM5.8 bilion pada 2018 kepada RM13.3 bilion pada 2023 dan ia dijangka akan bertambah lagi untuk tahun ini dan tahun depan.

“Terima kasih atas pembulian itu; jika tidak, kita tidak akan diisytiharkan sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia pada tahun lepas.

“Ia adalah wang Sarawak dan kita telah naik ke mahkamah dengan Petronas semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kita memenangi kes mahkamah,” katanya.

Dr Sim juga menyentuh mengenai kerajaan persekutuan yang masih perlu memberi geran khas kepada Sarawak RM300 juta tahun lepas dan RM600 juta tahun ini.

“Semoga sepanjang lima tahun pengaturan sementara ini, Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan akhirnya dapat mencapai formula yang dipersetujui bersama mengenai geran khas tahunan ini,”katanya.

Jelas Dr Sim juga, sudah tiba masanya Sarawak memberi tumpuan kepada infrastruktur dan kemudahan, selain memberi kembali kepada anak Sarawak dan menjaga diri terlebih dahulu.

Tambah beliau, pesanan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem supaya rakyat menjaga negeri ini dengan baik, perlu sentiasa diingati seluruh rakyat Sarawak.

Menurut laporan baru-baru ini, Dr Mahathir memberitahu Free Malaysia Today dalam temu bual bahawa Sarawak sudahpun mempunyai kuasa kewangan dengan bajet RM11 bilion yang menurut beliau sangat tinggi berbanding Kedah bajetnya hanya RM700 juta.

Justeru menurutnya, memandangkan Malaysia adalah sebuah persekutuan, negeri yang lebih kaya mesti berkongsi kekayaan mereka dengan negeri lebih miskin.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-10-2024 10:44 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-10-2024 11:05 PM | Show all posts
Rakyat Sarawak sendiri masih perlu dibantu

  • Abang Johari kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Sarawak membantu negeri lain dan menyifatkannya tidak munasabah



Abang Johari mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas merasmikan persidangan SSI 2024. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Sarawak membantu negeri lain dan menyifatkannya tidak munasabah.

Beliau berkata walaupun Sarawak diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi namun masih banyak perlu dilakukan khususnya membantu meningkatkan pendapatan isu rumah rakyatnya lebih-lebih lagi yang tinggal di luar bandar.

“Pepatah ada mengatakan, ‘kebajikan bermula di rumah’. Rakyat Sarawak, khususnya di luar bandar masih menghadapi banyak masalah, lebih-lebih lagi dari segi pembangunan infrastruktur asas dan ini akan terus menjadi antara keutamaan kita (Kerajaan Sarawak).

“Sebab itu saya buat bekalan elektrik, air dan bina jambatan. Kalau dahulu rumah panjang menggunakan diesel sekarang mereka sudah menggunakan solar. Semua ini memerlukan duit dan kita (Kerajaan Sarawak) sedang bekerja keras.

“Belum lagi sekolah, banyak yang ‘rempek’ (usang) dan Sarawak terpaksa menggunakan duit sendiri terlebih dahulu (untuk baik pulih atau bina semula),” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan Wawasan Kelestarian Sarawak (Sarawak Sustainability Insights-SSI) 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita yang memintanya mengulas mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir itu.

Abang Johari berkata Sarawak membangun sekarang kerana kerajaannya berjaya mengurus ekonomi dengan baik, sehingga diiktiraf negeri berpendapatan tinggi tetapi usahanya belum selesai lagi.

“Memang kita negeri berpendapatan tinggi tetapi pendapatan isi rumah belum (tinggi) lagi, sebab itu saya mahu membangunkan kawasan luar bandar,” ujarnya.

Beliau berkata Sarawak sepatutnya diberi peruntukan yang lebih besar kerana keluasannya sama dengan keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia.

Katanya lagi, Tun Dr Mahathir tidak boleh membandingkan Sarawak dengan Kedah kerana negeri itu jauh lebih kecil, hanya sebesar daerah Baram.

Abang Johari menambah, Sarawak hanyalah sebuah negeri, bukan kerajaan persekutuan dan tanggungjawab membantu negeri lain adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan.

“Cukai petroleum pergi ke kerajaan pusat, cukai korporat juga dibayar kepada kerajaan pusat.

“PETRONAS buat duit pun bayar cukai, kontraktor-kontraktor di bawah PETRONAS juga bayar cukai korporat kepada kerajaan pusat, dividen dan royalti pun mereka ambil tetapi Sarawak punya sikit saja, cukai jualan saja,” katanya.

Tun Dr Mahathir dalam satu wawanacara bersama sebuah portal berita pada Isnin berkata Sarawak, yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri yang mundur untuk membangun.

“Sarawak sudah jana banyak wang. Belanjawannya RM11 bilion – sangat tinggi, berbanding Kedah, yang bajetnya hanya RM700 juta,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata: “Kita harus ingat bahawa Malaysia sebuah persekutuan. Negeri yang lebih kaya mesti kongsi kekayaan dengan yang lebih miskin.

“Tetapi keadaan tidak selalu begitu. Pada mulanya, sudah tentu Sarawak dan Sabah miskin, dan kerajaan persekutuan terpaksa bantu mereka. “Kini mereka tidak lagi miskin dan sudah tiba masanya mereka bantu negeri yang lebih miskin,” katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 06:26 PM GMT+8 , Processed in 0.054438 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list