Pelajar perlu daftar atau daftar melalui guru besar bagi duduki peperiksaan itu
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241029/sbw-ub291024-rj-mssr-p1.jpg)
Dr Annuar merasmikan Kejohanan Olahraga MSSR Zon Bandar Sibu Ke-49 di Stadium Tun Zaidi, petang tadi. Turut kelihatan Hamdi (kiri).
SIBU: Peperiksaan atau Penilaian Kemasukan Sekolah bagi memasuki Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS) adalah terbuka kepada semua pelajar sekolah di Sarawak.
Namun menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, pelajar terbabit perlu mendaftar atau mendaftar melalui guru besar sekolah bagi menduduki peperiksaan tersebut.
"Sebab itu saya galakkan guru besar untuk pastikan pelajar-pelajar mereka menduduki peperiksaan tersebut sebab permohonan perlu melalui guru besar dan apabila mereka dapat menduduki peperiksaan, barulah mereka dapat ditapis untuk memasuki sekolah ini," ujarnya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini peperiksaan tersebut di Kuching, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Rendah (MSSR) Zon Bandar Sibu Ke-49 di Stadium Tun Zaidi, petang semalam.
Menurut Dr Annuar, beliau tidak mempunyai data berapa ramai pelajar yang hadir menduduki peperiksan tersebut untuk kemasukan pelajar ke dua sekolah YSIS di Kuching.
"Tetapi ini tidak bermaksud (kemasukan) untuk pelajar-pelajar di sekitar bandar raya Kuching.
"Ia terbuka kepada pelajar di seluruh Sarawak," jelasnya.
Beliau juga memberitahu, sekolah YSIS di Sibu dijangka mula beroperasi pada 2026.
"Di Sibu, kita tidak buka untuk tahun 2025.
"Jadi pelajar Tahun 5 tahun ini di mana tahun depan menjadi Tahun 6, mereka inilah yang akan berpeluang mendapat pendidikan di sekolah antarabangsa ini nanti," ujarnya.
Menyentuh mengenai kejohanan olahraga tersebut kata Dr Annuar, acara sebegini amat penting untuk para pelajar bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi sebagai pendedahan supaya dari segi sosial mereka dapat mendekati masyarakat di sekeliling mereka.
"Kita tidak mahu pelajar-pelajar di peringkat umur seperti ini berasa malu jika mereka keluar dari sekolah atau bercampur dengan pelbagai bangsa lain, selain akan dapat meningkatkan lagi keyakinan mereka dalam masyarakat umum," jelasnya.
Hadir sama ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali Hamdi Nadji selaku penganjur kejohanan pada kali ini.
|