https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/11/1318618/diana-nafi-hidap-bipolar-sebaliknya-mengalami-sindrom-adhd
KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle memaklumkan dirinya hanya menghidap penyakit sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan bukan bipolar seperti dakwaan segelintir pihak. Diana, 33, menerusi hantaran Instagram Story (IGs) pagi ini bertindak membuat penafian terbabit bagi menafikan segala dakwaan kononnya dia menghidap bipolar hingga bertindak membuat keputusan yang tidak rasional. "Untuk membetulkan tanggapan sesetengah orang tentang kesihatan mental saya, saya mempunyai ADHD. Saya bukan bipolar. "Saya tidak mempunyai episod gangguan mania seperti yang cuba diterangkan oleh sesetengah pihak. Saya tidak mengalami kecelaruan personaliti atau Dissociative Identity Disorder (DID), semua label ini dilemparkan untuk menidakkan pengalaman dan pilihan saya," katanya.
Dua tahun lalu, Diana mengesahkan dirinya mempunyai ADHD dan gejala itu membuat dia mempunyai masalah memori dan menjadikannya cepat lupa. Bagaimanapun ia tidak menghalangnya untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu kesihatan mental.
Terdahulu, suaminya pelakon Farid Kamil yang ditemui di lokasi filem Bayangan Dosa di Kuang, Rabu lalu mengakui berlaku salah faham kecil dalam rumah tangga mereka dan Diana menjadi emosi kerana sedang datang haid. Isnin lalu Diana mengejutkan ramai pihak apabila nekad untuk bercerai dengan Farid. Berita itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Instagram tanpa mendedahkan punca dia nekad dengan keputusannya itu. Sebelum ini, Diana dan Farid pernah sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos 2023. Tidak lama kemudian, mereka kembali rujuk selepas sebulan bercerai. Mereka berkahwin pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Pelakon, Diana Danielle.
|