https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1318616/udang-beku-jadi-rokok-minuman-keras
KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras yang diikrar sebagai produk udang sejuk beku pada 22 Oktober lalu. Penyeludup berkenaan dikesan membuat ikrar palsu ketika tiba pelabuhan di sini. Bagaimanapun, anggota Unit Marin JKDM Kuching mengesan sesuatu yang mencurigakan dan mengekori lori berkenaan sebaik keluar dari gudang transit pelabuhan. Lori berkenaan dipintas di Jalan Kuching-Samarahan Expressway kira-kira jam 2 petang, Selasa minggu lalu.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, pemeriksaan dijalankan untuk mengenal pasti muatan sebenar lori berkenaan. "Sebaik bahagian kargo dibuka, JKDM menemui sejumlah rokok dan minuman keras dalam kargo lori sejuk beku itu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, lori berkenaan membawa 3.4 juta batang rokok pelbagai jenama dan 2,376 liter minuman keras yang tidak berkastam," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Sejingkat Industrial Park di sini, hari ini. Norizan berkata, rokok dan minuman keras yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.4 juta berserta cukai manakala lori bernilai RM70,000 turut disita, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM3.15 juta. "Pemandu lelaki berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. "Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. Norizan berkata, JKDM giat mengesan pemilik barangan berkenaan yang dipercayai cuba dihantar ke luar Kuching. "Semua barangan dirampas berasal dari negara jiran dan Kuching dijadikan transit sebelum dihantar ke lokasi lain di Sarawak," katanya.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan yang diikrar sebagai ‘udang sejuk beku’. - NSTP/MOHD ROJI KAWI
|