https://www.utusan.com.my/berita/2024/11/pesawat-boeing-737-terbang-atas-jalan-raya-di-pakistan/
KARACHI: Buat pertama kalinya dalam sejarah Pakistan, sebuah pesawat penumpang dipindahkan melalui jalan raya, yang mencipta kejadian luar biasa bagi negara itu. Pesawat Boeing 737 dengan kapasiti 240 tempat duduk yang ditamatkan operasi, dibawa dari Karachi, hab komersial Pakistan, menuju ke Hyderabad menggunakan treler yang direka khas untuk tujuan itu. Perjalanan darat sejauh 154 kilometer itu mengambil masa kira-kira dua setengah jam. Peristiwa unik ini mengingatkan rakyat Pakistan kepada kejadian serupa pada bulan September lalu, apabila tiga pesawat Boeing 777 diangkut melalui padang pasir di Arab Saudi. Sebelum pesawat sepanjang 110 kaki dan seberat 40 tan ini dimuatkan ke atas treler, sayap dan ekornya dibuka terlebih dahulu dan diangkut secara berasingan, kata Hummayun Khalid yang menyelia pemindahan tersebut. Setelah dipasang semula di Institut Latihan Penerbangan Awam di Hyderabad, pesawat ini akan digunakan untuk melatih anggota bomba lapangan terbang.
Walaupun lalu lintas di Lebuhraya Karachi-Hyderabad tidak ditutup secara rasmi, konvoi pemindahan tersebut menyebabkan kesesakan di sepanjang laluan.– AGENSI
PESAWAT Boeing 737 dibawa dari Karachi menuju ke Hyderabad menggunakan treler yang direka khas.- AGENSI
|