SIBU: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak akan menganjurkan Program Bicara Ilmu 'Memperkasa Komuniti Melalui Berkoperasi' di D'Sanglau Cafe & Chalet, Oya, Mukah pada 16 November ini.
Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak merangkap penyelaras program Mohamad Suandi Mortadza berkata, modal insan dalam gerakan koperasi merupakan tunjang utama dalam gerakan koperasi yang akan memimpin koperasi untuk mencapai matlamatnya.
"Peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengurus koperasi wajar dipertingkatkan.
"Pemahaman kepada peranan dan tanggungjawab anggota dan pemimpin koperasi perlu sentiasa menjadi keutamaan agar koperasi tidak terkeluar dari landasannya.
"Di sinilah tugas Institut Koperasi Malaysia untuk terus memainkan peranannya sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan modal insan koperasi sentiasa konsisten dan bersedia mendepani cabaran semasa," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Suandi, pelaksanaan program itu menyasarkan penyertaan 200 orang dari bahagian Mukah dan kawasan sekitar yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi (ALK), anggota koperasi dan kakitangan koperasi, usahawan serta masyarakat umum.
"Objektif utama program adalah untuk menjelaskan bagaimana berkoperasi mampu meningkatkan sosioekonomi masyarakat terutama di luar bandar, selain memberi pendedahan hak dan tanggungjawab sebagai Anggota Lembaga Koperasi dan anggota koperasi.
"Program juga bagi memberi pendedahan kepada warga koperator khasnya di bahagian Mukah dan kawasan sekitar tentang peranan IKMa Zon Sarawak dalam pembangunan modal insan koperasi," jelasnya.
Antara pengisian program termasuk ceramah bertajuk 'Keistimewaan Berkoperasi' oleh Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak Frank Meol serta ceramah bertajuk 'Hak dan Tanggungjawab Anggota Koperasi' oleh Suandi.
Selain itu, terdapat juga pameran oleh agensi, gerai jualan dan pameran usahawan.
Program dijangka dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah.
"Program ini diharap mendapat sambutan daripada gerakan koperasi dan masyarakat setempat agar mencapai objektif program," tambah Suandi.
|