CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16663|Reply: 0

[Sarawak] Premier antara ahli panel jemputan pada ADIPEC 2024 di Abu Dhabi

[Copy link]
Post time 6-11-2024 11:51 PM | Show all posts |Read mode


Wakil Pegawai Protokol Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) Ahmed Almansoori menyambut ketibaan Abang Johari dan rombongan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed. - Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara ahli panel jemputan pada Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat ADNEC, Abu Dhabi pada esok.

Menurut satu kenyataan di Facebook rasmi Pejabat Premier Sarawak 'Sarawakku', Abang Johari bersama beberapa ahli panel jemputan lain akan membincangkan Peranan Asia Dalam Menentukan Pasaran Hidrogen.

Abang Johari bersama delegasi dari Sarawak tiba di ibu negara Emeriah Arab Bersatu itu pada petang Isnin bagi memulakan lawatan kerja empat hari khususnya memenuhi jemputan ADIPEC serta menghadiri beberapa acara lain melibatkan entiti perniagaan Sarawak dan Abu Dhabi.

Ketibaan beliau dan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed kira-kira jam 1.50 petang waktu tempatan disambut Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Dato Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Turut serta Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Hari ini, Abang Johari mengadakan lawatan ke bandar raya Masdar, yang dijana sepenuhnya oleh tenaga solar, terletak kira-kira 30km dari Abu Dhabi.

Beliau kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB), Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) dan Gentari.

Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada meneroka potensi untuk membangunkan projek solar terapung photovoltaic (PV) terbesar di dunia, dengan kapasiti hingga 1 gigawatt di Empangan Murum.

Pada sebelah petang, Premier Sarawak dijadual menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Energy.

Perjanjian itu untuk Mubadala Energy membantu mempromosikan pemuliharaan, perlindungan, penjanaan semula dan peningkatan biodiversiti.

Di samping itu, ia turut melibatkan pembangunan rangka kerja kedua-dua pihak meneroka peluang di kawasan yang diuruskan oleh SFC yang sesuai bagi melaksanakan pemuliharaan bakau di Taman Negara Kuching Wetland dan mengenal pasti projek pemuliharaan berpotensi lain.

Abang Johari akan mengakhiri rangka kerjanya dengan mengadakan pertemuan bersama barisan eksekutif Mubadala Energy yang diketuai CEO merangkap Pengarah Urusannya Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed.

Pertemuan itu bakal membincangkan Hala Tuju Gas Sarawak atau Sarawak Gas Roadmap dan peluang pelaburan Mubadala Energy di Sarawak.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 03:12 PM GMT+8 , Processed in 0.411949 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list