Yii menunjukkan laman MBM rasmi di Facebook di pejabatnya di Dewan Bandaraya hari ini.
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak akan bertanggungjawab terhadap informasi atau kandungan yang dikongsi atau disebarkan oleh laman Facebook (FB) bukan rasmi mereka.
Bercakap kepada pemberita, Yii mendedahkan terdapat laman di FB yang menggunakan logo MBM yang berkongsi informasi dan kenyataan tidak rasmi daripada MBM.
"Kita mahu orang ramai menyedari perkara ini. Hanya terdapat satu laman rasmi MBM, " tergasnya.
Yii berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada pengurus laman dan memaklumkan bahawa tindakan laman mengelirukan pengguna.
MBM juga meminta mereka untuk berhenti dan memadam perkongsian di laman tersebut.
Selain itu, MBM juga telah membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Bagaimanapun, pengurus laman tersebut masih tidak memberi kerjasama dan pihak SKMM juga setakat ini belum lagi mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima.
"Ini merupakan tindakan ketiga kita iaitu secara terus memaklumkan kepada umum yang kita hanya memiliki satu laman rasmi MBM di Facebook.
“Kita mahu memaklumkan kepada umum agar mereka sedar tentang perkara ini," tegas Yii.
Menurut Yii, mungkin tindakan seterusnya adalah berhubung terus dengan pihak Meta tentang salah guna logo MBM oleh admin laman di Facebook.
Yii khuatir, tanpa sekatan, MBM akan terus mendapat tanggapan yang salah daripada orang awam kesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.
|