Penguang (tengah) bersama ketua masyarakat dan ketua kaum kawasan Marudi menerima surat lantikan baharu dan lanjutan lantikan mereka serta surat penghargaan selepas mesyuarat agung PDP Marudi hari ini.
MIRI: Projek pembinaan laluan kedua Jalan Miri-Marudi yang akan dibangunkan dengan kos lebih RM800 juta dijangka bermula pada Mac tahun depan dan siap dalam tempoh dua tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata beliau sudah dimaklumkan bahawa Surat Niat atau LOI (Letter of Intent) diberikan (kepada kontraktor) seawal Mac 2025.
Beliau berkata, kontraktor sudahpun bersedia dengan segala kelengkapan untuk memulakan projek dan kemungkinan bermula lebih awal.
Jalan kedua Miri-Marudi ini akan dibina dengan konsep 'design and build' oleh pemaju dengan standard R5 bermaksud jalan persekutuan atau lebuh raya dengan kawalan akses terhad dan had laju sehingga 90km/j.
"Laluan kedua Jalan Miri-Marudi (bermula dari sebelah Eastwood Valley) ialah jalan (standard) R5, sejauh 42km menelan belanja lebih RM800 juta.
"Kalau sudah siap dalam tempoh dua tahun kelak, kita sudah boleh bersarapan pagi di Marudi," katanya berseloroh.
Menurut Penguang, beliau juga meminta pemaju memulakan projek pembinaan jalan tersebut dari Marudi (Jambatan Marudi) menghala ke Miri dan dilaksanakan seperti diminta, ia adalah satu penghargaan bagi beliau dan rakyat Marudi.
Beliau memberitahu perkara itu ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas sesi penggulungan ucapannya pada Mesyuarat Agung Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian DUN Marudi di sini hari ini.
Mengenai projek lain yang sudah diluluskan dan menunggu pelaksanan, Penguang memberitahu jalan dari Simpang Lapok ke Long Tisang baru sahaja dibentangkan di Kabinet dua hari lalu dan sudah dikeluarkan tender dengan cara pemilihan, di mana hanya lapan permohon tender sahaja diterima dengan pemilihan dibuat bagi mengenal pasti mereka yang layak (diamanahkan projek itu).
"Begitu juga jalan utama menuju ke Long Teran meliputi jalan dari kedua-dua arah dan sebuah jambatan menyeberangi Batang Tinjar.
“Projek ini menelan kos berjumlah RM48 juta, juga sudah diluluskan dan dibina tidak lama lagi," katanya.
Penguang memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga sudah mengumumkan untuk membina sebuah lagi jalan dari Simpang Lapok di Kilometer 10, menuju ke Long Teran Batu dan Long Teran Kiri.
"Projek ini bukan permohonan daripada saya tetapi Premier melihat ini adalah satu keperluan (bagi penduduk di kawasan terbabit).
“Begitu juga laluan dari Simpang Long Lama menuju ke Hulu Teru sudah diluluskan dan kita melaksanakan tender terbuka.
"Premier juga mengumumkan Jalan Miri-Marudi dilaksanakan dan dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) bermula pada tahun depan. Projek ini juga sudah diluluskan," jelasnya.
Mengenai projek pembinaan Jalan Miri-Marudi-Melinau dan dari Long Panai ke Long Lama, Penguang mendedahkan dua kontraktor melaksanakannya dengan konsep 'design and build'.
Laluan dari Miri ke Marudi dan Long Panai ke Long Lama dilaksanakan oleh Kumpulan Shin Yang menerusi anak syarikatnya, Piasau Konkrit Sdn Bhd manakala projek pembinaan laluan dari Marudi ke Simpang Poyut hingga ke Melinau dilaksanakan oleh Kumpulan Syarikat Samling.
"Dengan pengalaman, modal dan keperluan kejuruteraan dan kelengkapan pembinaan yang ada pada kedua-dua syarikat itu, kita tidak perlu bimbang kerana saya yakin projek tersebut akan berjalan dengan lancar.
"Seperkara lagi, menjelang 2025 seluruh kawasan DUN Marudi memperoleh bekalan elektrik dan yang satu ini saya amat yakin," katanya.
Menurut Penguang, jika rangkaian jalan raya menghubungkan seluruh kawasan DUN Marudi siap dibina keseluruhannya, maka yang lain (pembangunan) akan datang dengan sendiri seperti sosioekonomi, pertanian dan sebagainya.
"Ini kerana infrastruktur ini adalah pemacu dan pemangkin semua pembangunan yang akan datang dan masuk ke kawasan ini. Begitu juga sambungan Internet akan masuk dan disediakan oleh penyedia perkhidmatan," jelasnya.
|