Len melakukan gimik perasmian Borneo Makers Festival di Bintulu hari ini.
BINTULU: Borneo Makers Festival (BMF) dilihat sebagai platform terbaik bagi mengetengahkan budaya kreatif dan inovasi dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata program itu bagi memberi inspirasi kepada golongan belia dengan mempamerkan produk inovatif dan bakat kreatif dimiliki mereka.
"Pada masa sama, mereka dapat melakukan inisiatif dengan mempromosikan pembangunan di negeri ini khususnya dalam aspek sosioekonomi melalui budaya pembuatan berkembang di Sarawak," katanya semasa berucap merasmikan Borneo Makers Festival di sini hari ini.
Beliau turut menggalakkan setiap peserta mengambil bahagian supaya menerokai kemahiran baharu termasuk mencipta inovasi terbaharu.
"Kejayaan dalam membina produk terbaharu harus seimbang dan seiring yang mana hasil daripada kejayaan harus disumbangkan kepada masyarakat," jelasnya.
Beliau berkata BMF juga berusaha mengekalkan seni warisan sambil mengintegrasikan kemahiran moden menggalakkan pelajar dan belia menghargai keseimbangan antara tradisi dan inovasi.
Festival tersebut secara keseluruhannya dapat memupuk pemikiran kreatif termasuk kemahiran menyelesaikan masalah.
Oleh sebab itu, program ini turut memberi kuasa kepada setiap peserta mengaplikasikan teknologi dan mempraktikkan kaedah tradisional bagi mencipta penyelesaian komuniti setempat.
|