Uggah melancarkan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB Cawangan Bukit Begunan dan Engkilili di Sri Aman, hari ini.
KUCHING: Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat cawangan dan ranting diminta menjelaskan kepada ahli-ahli lain mengenai program bantuan baharu yang disediakan kepada rakyat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, ia khususnya program yang diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2025 yang dirangka untuk memberi manfaat kepada setiap rakyat Sarawak.
"Saya ingin menasihatkan semua akar umbi ini untuk memastikan semua ahli mereka mempunyai pengetahuan yang sangat baik tentang program ini untuk membolehkan mereka mendapat manfaat.
"Ia adalah untuk semua orang agar tiada siapa yang harus ditinggalkan dan falsafah (bantuan) di sebalik (bajet) ialah sentiasa ada makanan di atas meja untuk mereka," katanya.
Uggah bersama tetamu jemputan merakam kenangan bersama ahli-ahli PBB Cawangan Begunan dan Engkilili semasa mesyuarat di Sri Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB Cawangan Bukit Begunan dan Engkilili di sebuah hotel di Sri Aman, hari ini.
Uggah berkata, sebagai contoh di bawah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), sejumlah RM450 juta telah dperuntukkan dan program berkenaan adalah untuk golongan berpendapatan rendah.
"Ia menyediakan bantuan kewangan antara RM250 hingga RM800 setiap tahun kepada semua rakyat Sarawak dan yang bermastautin di negeri ini dan dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 850,000 individu," jelasnya.
Uggah berkata, program itu akan melengkapi bantuan kewangan persekutuan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau menambah, terdapat yang lain seperti Bantuan Ibu Bersalin di mana RM14 juta telah diperuntukkan.
"Kemudian ada RM55 juta untuk pelbagai bantuan kebajikan termasuk bantuan am, bantuan bencana dan bantuan perubatan," katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu dimaklumkan bahawa sejumlah RM15 juta telah diperuntukkan sebagai bantuan khairat kematian bagi meringankan beban kewangan keluarga pemegang Kenyalang Gold Card yang meninggal dunia.
"Terdapat juga program Faedah Kesihatan Warga Emas dengan peruntukan RM50 juta. Ini adalah beberapa bantuan yang lebih relevan.
"Selain itu, ada juga bantuan wang saku untuk pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi," kata Uggah.
Sehubungan itu katanya yang juga Timbalan Presiden PBB, semua ketua cawangan dan ranting perlu mengadakan seminar atau ceramah untuk menghebahkan bantuan yang disediakan selain memberitahu di mana atau siapa yang perlu didekati oleh rakyat untuk memohon.
Sementara itu, kedua-dua cawangan dalam resolusi mereka telah mencadangkan agar Premier yang juga presiden parti tidak bertanding untuk konvensyen parti pada Februari tahun depan.
Cawangan Engkilili di bawah Pengerusi Senator Susan Chemerai Anding akan memberi laluan kepada Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu untuk mengambil alih sesi 2024/2027.
Cawangan Bukit Begunan diketuai oleh Anthony Abell Chendan.
|