CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15882|Reply: 0

[Sarawak] Seluruh kawasan luar bandar akan dihubungkan dengan grid elektrik

[Copy link]
Post time 26-11-2024 02:49 PM | Show all posts |Read mode


Gerawat (kiri) menandatangani plak sambil disaksikan Anyi (dua kiri) dan yang lain pada perasmian projek solar hibrid wilayah Apoh di Long Atip, Baram hari ini.

LONG ATIP: Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan jangka panjang untuk menghubungkan semua penempatan luar bandar dan kampung di seluruh negeri termasuk Baram ke grid elektrik, bertujuan menyediakan bekalan kuasa yang lebih stabil pada masa depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, Sarawak Energy Berhad (SEB) kini sedang berusaha membina talian kabel utama dari Logan Bunut ke Limbang, dengan matlamat menghubungkan lebih banyak rumah panjang dan penempatan ke grid utama.

“Kebanyakan kawasan ini kini menggunakan sistem SARES (Skim Elektrik Luar Bandar Sarawak) atau sistem hibrid solar.

“Projek SARES atau solar hibrid hanya sementara.

“Untuk jangka panjang, kerajaan Sarawak bercadang menghubungkan semua kawasan luar bandar ke grid elektrik utama,” katanya ketika berucap merasmikan projek solar hibrid bagi wilayah Apoh di Long Atip, Baram hari ini.

Gerawat mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Selain itu, Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM2 bilion untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam ke semua kawasan luar bandar di seluruh negeri.

“Jika kita lihat keseluruhan kawasan luar bandar di Sarawak, hampir 98 peratus kawasan atau penempatan telahpun menikmati bekalan elektrik 24 jam,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf peranan kerajaan persekutuan melalui Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau, yang giat menyuarakan keperluan rakyat di kawasannya khususnya berkaitan jalan raya.

Gerawat menegaskan, tanpa jalan raya yang lebih baik sukar untuk membawa pembangunan lain ke kawasan pedalaman.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Long Atip kerana hari ini juga kita akan merasmikan jalan raya dari Long Atip ke Long Terawan.

“Saya teringat semasa Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) melawat Long Terawan pada 2021, penduduk di sana meminta supaya jalan balak dari Long Terawan ke Long Atip dinaik taraf.

“Beliau bersetuju dan meluluskan sejumlah RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata, jalan itu jalan alternatif yang lebih pendek, hanya sepanjang 32 kilometer.

Bagaimanapun bagi perancangan jangka panjang kata beliau, masyarakat di wilayah Apoh melalui Pemanca Nawan Luhat meminta kerajaan mengubah laluan jalan baharu dari persimpangan Marudi ke Long Terawan bagi memastikan ia akan melalui lebih banyak kampung termasuk Long Atip dan Long Lama.

“Malah saya dan Datuk Dennis Ngau (ADUN Telang Usan) telah berjumpa dengan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah untuk menyampaikan permintaan itu.

“Saya telah menyatakan sokongan saya terhadap permintaan ini kerana sebab kami membina jalan raya adalah untuk menghubungkan kampung.

“Jika jalan baharu itu (dari simpang Marudi ke Long Terawan) adalah jalan terus dari Kuala Apoh ke Long Lama, ia tidak akan melalui mana-mana kampung dan oleh itu tidak memberi manfaat kepada rakyat kita,” katanya lagi.

Tambah Gerawat, pembinaan untuk projek ini akan dimulakan tahun depan.

Ia akan disambungkan ke Jalan Link Sabah-Sarawak yang akan dibina dari Limbang, melalui Long Seridan, Long Iman dan bertemu rangkaian jalan di Long Terawan di Mulu.

“Apabila siap kelak, projek ini akan membolehkan orang ramai melakukan perjalanan dari Miri ke Long Atip menggunakan kenderaan kecil, tanpa memerlukan kenderaan 4WD.

“Ini adalah impian yang akan menjadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau, Pemanca Nawan Luhat dan Ketua Kampung Wilson Anyi.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 05:45 PM GMT+8 , Processed in 0.683901 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list