Mercun dan rokok yang dirampas. - Gambar TDM
KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup mercun dan rokok melalui sempadan Malaysia-Indonesia di Kandaie, Lundu hari ini.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, anggota dari formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) bersama TNI-AD melakukan rondaan di kawasan GABMA Kandaie.
Menurutnya, mereka telah terserempak dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori yang membawa muatan bertutup menghala ke arah Indonesia.
“Anggota peronda telah menahan kenderaan tersebut bagi tujuan pemeriksaan, tetapi pemandunya berjaya melarikan diri ke arah sempadan Indonesia.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah menemui pelbagai jenis rokok dan mercun,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kesemua rampasan termasuk dua buah kenderaan tersebut dianggarkan bernilai mencecah RM336,050.
Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Lundu untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen Mej Jen Datuk Khairul Anwar Abd Aziz, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
"TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan," ujarnya.
|