Edited by Vellfire at 26-11-2024 08:17 AM
Abang Johari menekan butang simbolik pelancaran Laporan PCDS 2030: Sorotan 2023 yang disaksikan timbalan-timbalan Premier, menteri-menteri kabinet, Mohd Abu Bakar (lima kanan) dan yang lain di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Laporan PCDS 2030: Sorotan 2023 menunjukkan pencapaian sebenar Sarawak dalam pelbagai sektor sekali gus memberi gambaran jelas tentang usaha pembangunan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, data dalam laporan itu menunjukkan pencapaian Sarawak yang ketara sehingga diiktiraf oleh Bank Dunia bagi negeri berpendapatan tinggi.
"Semasa saya menjadi Ketua Menteri, tahun pertama pendapatan negeri kita mencecah RM4 bilion, diikuti dengan RM9 bilion pada tahun kedua dan ketiga, yang kemudiannya menjadi dua angka pada tahun selepas itu.
"Pada tahun ketujuh saya (memegang tampuk kepimpinan), kita berjaya mencatatkan pendapatan negeri RM14 bilion dan data ini sudah cukup jelas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan PCDS 2030: Sorotan 2023, Laporan Tahunan Pertama bagi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, antara pencapaian utama Sarawak pada 2023 adalah termasuk dalah sektor pembuatan di mana Sarawak telah menarik pelaburan RM21.5 bilion yang diluluskan dari 2021 hingga 2023, mewujudkan lebih daripada 11,000 pekerjaan baharu.
Selain itu, sektor pelancongan merekodkan 3.9 juta ketibaan pelawat pada 2023, menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM9.99 bilion; perhutanan di mana Sarawak telah menanam 32.5 juta pokok dari 2021 hingga 2023, menunjukkan komitmen terhadap alam sekitar; serta infratruktur iaitu Sarawak telah membina rangkaian jalan yang meluas sejauh 31,577km, meningkatkan akses dan keterhubungan.
Abang Johari berucap sempena melancarkan Laporan PCDS 2030: Sorotan 2023, hari ini. - Gambar UKAS
Beliau berkata, tidak ketinggalan juga pencapaian dari segi utiliti di mana liputan elektrik telah mencapai 99.4 peratus manakala liputan bekalan air berada pada 84.3 peratus, manakala tenaga boleh diperbaharui, Sarawak mengekalkan 60 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan menjual lima juta Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) pada 2023.
"Kita telah mencapai sasaran tertentu pada 2023, namun untuk lima tahun akan datang kita perlu bekerja keras walaupun sudah diiktraf Bank Dunia dari segi pendapatan negeri.
"Tetapi kita perlu berusaha untuk mencapai pendapatan tinggi bagi isi rumah lagi kepada rakyat kita menjelang 2030," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki dalam ucapannya berkata, sebagai gambaran keseluruhan yang komprehensif, PCDS 2030: Sorotan 2023 memberikan gambaran yang jelas tentang perjalanan Sarawak setakat ini, memperincikan strategi yang telah dilakukan dengan berani dan pencapaian yang dicatatkan.
"Melalui laporan ini, kami berkongsi kemajuan dan hasil program dan dasar Kerajaan Sarawak secara terbuka kepada pihak berkepentingan.
"Ini adalah cara kita memastikan semua orang dimaklumkan dan terlibat kerana kita percaya bahawa kita hanya boleh membina masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak," katanya.
Mohd Abu Bakar berkata, pencapaian dalam laporan itu bukan hanya statistik semata-mata.
Malah katanya, ia mewakili impak sebenar kepada kehidupan orang ramai, merentasi setiap bandar dan kampung, setiap kumpulan pendapatan dan setiap latar belakang budaya di Sarawak.
"Pencapaian ini menunjukkan perbezaan usaha kita dalam mencipta peluang dan memperbaiki kehidupan, tidak kira siapa atau di mana mereka berada," katanya.
|