Bukit Kayu Hitam: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini mulai sesak apabila orang ramai mengambil kesempatan bercuti di negara jiran, hari ini.
Kesesakan luar biasa itu dilaporkan berlaku seawal 6 pagi hari ini dan hasil tinjauan mendapati kenderaan terpaksa beratur panjang sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke ICQS bagi urusan mengecap pasport dan pas sempadan.
Difahamkan, destinasi seperti Hatyai, Pattani serta Songkhla menjadi pilihan dan tarikan utama pelancong tempatan, dengan peningkatan ketara jumlah kenderaan yang memasuki Thailand sejak semalam.
Ketua Unit Penguatkuasa ICQS Bukit Kayu Hitam, Naziah Mohd Yusoff berkata, kesesakan kenderaan berlaku sejak Khamis lalu apabila ramai pelancong dari negara ini hendak keluar ke Thailand.
"Berdasarkan data yang diperoleh, seramai 10,697 pelancong tempatan keluar ke Thailand pada Jumaat lalu, manakala semalam seramai 14,820 pelancong tempatan ke sana seawal 6 pagi.
"Bilangan pelancong akan terus bertambah hari ini apabila jumlah pelancong yang hendak keluar dari negara ini adalah seramai 5,931 orang dari jam 6 pagi hingga 12.16 tengah hari ini," katanya ketika ditemui di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ICQS, di sini, hari ini.
Sementara itu, Adam Abdullah Bakri, 53, dari Kuala Lumpur berkata, dia terpaksa menempuh kesesakan hampir empat jam dari Changlun ke Kompleks ICQS, di sini.
Katanya, dia yang baru pertama kali melancong ke Hatyai, Thailand bersama ahli keluarganya tetap meneruskan perjalanan walaupun terpaksa menunggu agak lama.
"Saya datang ke sini dengan dua lagi kereta namun urusan mengecap pasport di kaunter Imigresen agak cepat," katanya.
Muslinda Mustafa, 41, berkata, dia bersama suami dan anaknya bertolak dari Kuala Lumpur pada 3.30 pagi dan sampai di sempadan Malaysia-Thailand pada 10.30 pagi.
Katanya, mereka turut menempuh kesesakan hampir empat jam disebabkan pergerakan kenderaan yang agak perlahan.
"Kali ini pengalaman ke Thailand agak 'pahit' sebab kami terpaksa menempuh kesesakan yang agak lama. Kami selesai cap pasport pun pada 2 petang," katanya.