JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 55 tahun kerugian lebih RM700,000 selepas terpedaya tawaran pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan dibuat warga tempatan itu, semalam, yang memaklumkan dia tertarik dengan pelaburan saham diperkenalkan seorang kenalan bernama Elsa, pada 18 September lalu.
"Mangsa tertarik dengan pelaburan saham yang diperkenalkan Elsa yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram.
"Mangsa kemudian berhubung dengan penama melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-6066172 yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.
"Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah memuat turun aplikasi CW(M).LNC di play store sebelum melakukan sebanyak 22 transaksi ke empat akaun berbeza yang diberikan," katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mangsa membuat transaksi bermula 7 November hingga 13 Disember lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM751,070.
Katanya, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan pulangan keuntungan pelaburan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
"Siasatan juga akan meliputi pembabitan 'keldai akaun' jika ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat," katanya.
|